Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

Tahun lalu Perodua telah melancarkan Ativa Hybrid – seperti yang diketahui, ‘Ativa’ berkenaan sebenarnya Daihatsu Rocky hybrid yang diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditampal dengan logo Perodua, serta ianya hanya dibawa sebanyak 300 unit, kesemuanya tidak dijual tetapi hanya ditawarkan dalam pakej langganan di mana pelanggan perlu memulangkannya semula kepada Perodua selepas lima-tahun.

Untuk model hibrid sebenar dari Perodua, satu laporan yang pernah dikeluarkan oleh RHB Investment Bank sebelum ini menyatakan ia akan muncul pada tahun 2024. Dan pada majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad ada berkongsi hint berkenaan model tersebut.

Menurut Zainal, model hibrid sebenar dari Perodua nanti bukanlah dari model-model generasi sedia ada, tetapi ia akan hadir sebagai varian untuk model baharu sepenuhnya (Full Model Change/FMC). Jadi jelas, model hibrid pertama dari Perodua kelak bukanlah Ativa Hybrid.

Jadi ‘calon’ untuk model pertama hibrid Perodua berkenaan boleh dijangka antara dua model iaitu Bezza generasi kedua atau Myvi generasi keempat.

Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

Baru-baru ini ada laporan menyatakan bahawa sedan Perodua Bezza generasi kedua mungkin akan dilancarkan pada tahun ini, dan ia mungkin dilihat logik memandangkan Bezza sedia ada sudah berada enam tahun dalam pasaran dan telah diberikan satu fasa facelift.

Namun perkara ini disangkal sendiri oleh Zainal semalam dengan menyatakan kemampuan Perodua kekal hanya boleh melancarkan satu model FMC dan dua model facelift (Minor Change/MC) setiap tahun, dan Perodua Axia generasi kedua sudah pun disahkan akan dilancarkan tahun ini selepas tempahannya secara rasmi telah dibuka.

Dengan itu, model generasi baharu untuk Bezza ini dijangka akan dilancarkan tahun hadapan, sekali dengan varian hibrid.

Tetapi ada kemungkinan juga model hibrid berkenaan akan diperkenalkan dahulu pada Myvi generasi keempat. Myvi untuk generasi ketiga sedia ada mula dilancarkan 2017, kemudian diberikan facelift pada 2021. Jadi tahun hadapan Myvi G3 sudahpun berusia enam tahun dalam produksi, dan cukup masa untuk digantikan dengan model generasi keempat.

Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

Buat masa sekarang, program langganan yang dijalankan pada Ativa Hybrid adalah untuk kajian dan penilaian pemanduan pemilik-pemilik yang berminat dengan teknologi hibrid di Malaysia, dan ia akan digunakan untuk penambahbaikkan oleh Perodua untuk model hibrid sebenar mereka nanti.

Model-model baharu dari Perodua selepas ini akan terus menggunakan platform modular Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang telah diguna pada Ativa dan Alza 2022, serta Axia D74A yang akan dilancarkan bulan ini. Jadi tidak mustahil Perodua turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa e:Smart Hybrid sama seperti Ativa/Rocky Hybrid untuk model hibrid pertamanya kelak.

Sistem e:Smart Hybrid tersebut adalah berlainan dari sistem-sistem hibrid biasa yang ditawarkan dalam pasaran khususnya di Malaysia. Ia diberikan enjin petrol WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder kitaran Atkinson yang menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 105 Nm.

Namun enjin berkenaan langsung tidak memacu roda SUV tersebut kerana ia bertugas semata-mata sebagai enjin penambah jarak (range extender) yang berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium-ion. Sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS dan tork maksima 170 Nm seperti kereta elektrik sebenar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required