Budaya ‘pop & bang’ ketika acara permotoran, tak hormat pemilik kereta; sampai bila akan berterusan?

Nah … anda tengok dan nilaikan la…

Ni bukan sekadar video….tapi aku sendiri saksikan depan mata benda ni berlaku…

#retrohavoc2023

Posted by Yazid Ajied on Sunday, 28 May 2023

Jika anda berada dalam komuniti berkereta, aktiviti yang melibatkan perhimpunan adalah antara acara yang seronok untuk disertai. Ini kerana dalam acara sebegini, kita bukan sahaja boleh melihat ‘hasil karya’ pemilik-pemilik kereta yang lain, malah boleh menambah lebih ramai lagi kenalan dan juga lazimnya boleh menjadi medan untuk berjumpa rakan-rakan lama yang sudah lama tidak bersua.

Namun dalam acara seperti ini ada satu masalah yang masih belum selesai dari dahulu hingga sekarang iaitu ada pengunjung yang tidak menghormati kenderaan milik peserta lain; kereta-kereta berkenaan disentuh, kadang kala ada yang tidak segan silu membuka pintu tanpa keizinan, dan ada yang bersandar atau duduk di atas bonet atau but sehingga menyebabkan kerosakan seperti calar dan kemik.

Dan baru-baru ini ada satu lagi budaya yang cukup jelik untuk dilihat iaitu ada pemilik yang suka ‘belanja’ ngauman enjin bersama letupan api “pop & bang” dari ekzos. Perlakuan ini biasanya akan disambut oleh pengunjung yang akan berkumpul di bahagian belakang kereta untuk merakam letupan dari ekzos berkenaan dengan perangai (maaf cakap kalau terlebih kasar) seperti ‘beruk’.

Ada yang melakukan perkara seperti ini dalam acara yang dibuat di tempat parkir awam, mengganggu penduduk di kawasan perumahan sekitar, dan ada yang melakukannya dalam acara yang dilakukan dalam kawasan indoor, yang pastinya meningkatkan risiko kebakaran dan juga keracunan gas karbon monoksida.

I don't understand why Malaysians need to run like baboons when they hear car revving.

Mind U there's many cars around….

Posted by Nathanael Koh on Saturday, 27 May 2023

Perkara ini nampaknya menjadi lebih teruk ketika berlangsungnya acara Retro Havoc 2023 di The Curve pada 27 Mei lalu. Ia berlangsung di tempat parking bawah tanah pusat membeli belah di Damansara berkenaan, dan menampilkan sekitar 1,000 unit kereta yang datang dari seluruh Malaysia serta sebahagiannya dari negara jiran iaitu Thailand dan Singapura. Malah acara ini juga berjaya menarik lebih dari 70,000 pengunjung menyebabkan kawasan acara berkenaan agak sesak dengan orang ramai.

Anda boleh lihat apa yang terjadi pada akhir acara tersebut menerusi lambakan video viral di laman-laman sosial; Ada pemilik memulakan ‘acara letup-letup ekzos’, dan ia disambut dengan pekikan dari pengunjung. Dan tambah malang, setiap kali ada kereta yang memulakan letupan ekzos, akan ada sekumpulan pengunjung berlari ke arah kereta berkenaan, dan secara tidak langsung merosakkkan kereta-kereta peserta yang lain.

Ramai peserta berkongsi gambar bagaimana komponen seperti spoiler, cermin sisi dan sebagainya pada kereta mereka rosak dirempuh pengunjung-pengunjung yang berlari. Malah ada yang berkongsi video pengunjung yang ‘bergayut’ pada sayap GT, dan ada yang bersantai duduk di atas but kereta peserta lain ketika sedang ‘melayan’ dan mengambil video letupan ekzos tersebut.

Imej yang kami rakam di Tokyo Auto Salon 2019, walaupun Makuhari Messe penuh sesak, tiada pengunjung yang sewenang-wenangnya menyentuh kenderaan yang dipamerkan

Yang tak sedap, ada juga kereta peserta dari luar negara rosak akibat insiden ini, yang sudah tentu akan merosakkan imej negara kita secara tidak langsung.

Ada yang menyalahkan pengunjung-pengunjung muda sebagai penyebab terjadinya insiden-insiden ini, kerana dalam video-video yang tular dapat dilihat golongan-golongan ini adalah antara yang paling ramai berlari ke arah kereta-kereta tersebut, mungkin untuk merakam letupan ekzos itu untuk dimuat naik sebagai bahan di akaun TikTok masing-masing.

Namun bagi penulis sendiri, perkara ini tidak akan terjadi sekiranya tidak ada peserta yang mula ‘belanja’ letupan ekzos dari kereta masing-masing. Malah difahamkan penganjur sendiri telah menggariskan peraturan agar peserta-peserta tidak melakukan aktiviti tersebut.

Nak tuding menuding siapa yang salah memang mudah, namun pada penulis untuk menyelesaikan masalah ini adalah berbalik pada sikap masyarakat kita sendiri; Untuk peserta, jangan mulakan; Dan untuk pengunjung jagalah adab dan tingkah laku sebagai warganegara yang bertanggungjawab, hormat harta benda milik orang lain. Orang nak buat kereta bukan senang Dik oi…bukan duit je habis, masa dan tenaga juga banyak dah terbuang!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required