Ducati Panigale V4R dilancarkan di Malaysia – RM460k

Barisan model Panigale V4 yang ditawarkan oleh Ducati Malaysia kini bertambah dengan ketibaan versi terhebat iaitu Panigale V4R. Ia dijual pada harga RM458,900, sementara V4 biasa berharga RM159,900 dan V4S pula RM199,900 tidak termasuk insurans.

Menggunakan enjin V4 Desmosedici Stradale 998 cc yang boleh dikerah sehingga 16,500 rpm pada gear enam, Panigale V4R menghasilkan kuasa sebanyak 218 hp pada 15,500 rpm dalam keadaan asal, sementara apabila dipasang dengan ekzos yang hanya boleh digunakan dalam litar, ia boleh bertambah sehingga 240.5 hp.

Banyak bahagian di dalam enjin ini telah dinaik taraf, dengan antaranya termasuk connecting rod titanium “gun-drilled“, piston lima gram lebih ringan, intake cam dengan lift 1 mm lebih tinggi serta salur udara 5 mm lebih pendek. Bahagian klac pula 800 gram lebih ringan.

Pakej aerodinamik pada model ini bertambah cekap dengan adanya sayap yang dapat memberikan lebih tekanan, tetapi lebih nipis dan ringan. Fairing bawah diubah untuk mengikut peraturan WSBK, sementara di bahagian kiri terdapat salur untuk menyejukkan sensor quickshifter.

Suspensi V4R masih lagi boleh dilaras secara mekanikal, dengan di hadapan terdapat fork Ohlins NPX25/30 manakala di belakang menggunakan penyerap Ohlins TTX36 yang kedudukannya telah dilaras sedikit – menyebabkan kedudukan belakang motosikal terangkat 20 mm – dan mempunyai jarak gerak tambahan 4 mm.

Ducati Panigale V4R dilancarkan di Malaysia – RM460k

Untuk kegunaan dalam litar, Ducati menyediakan pilihan tambahan perisian Ducati Performance DTC EVO 3, yang membenarkan pemasangan dan kalibrasi tayar slick serta hujan, serta mengaktifkan lampu belakang berkelip, seperti yang diperlukan dalam perlumbaan apabila hujan, serta penambahan Pit Speed Limiter.

Apabila dipasang dengan sistem ekzos titanium Akrapovic, berat motosikal ini akan berkurang lagi 5 kg dan ia akan diberikan dengan pemetaan khas untuk kegunaan litar, seterusnya meningkatkan kuasa kepada 237 hp (standard 218 hp). Turut menyumbang kepada pengurangan berat adalah rim magnesium yang menggantikan unit aluminium forged pada V4 biasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.