Porsche Cayenne CKD – 1k unit telah dikeluarkan dari fasiliti produksi Sime Darby di Kulim, Kedah; RM575k

Porsche Cayenne CKD – 1k unit telah dikeluarkan dari fasiliti produksi Sime Darby di Kulim, Kedah; RM575k

Sebanyak 1,000 unit Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) telah dikeluarkan dari kilang pemasangan Sime Darby di Kulim, Kedah, seperti mana yang diumumkan oleh Porsche Malaysia menerusi laman Facebook rasminya.

Sejarah ini tercipta selepas lebih kurang setahun dua bulan unit CKD SUV mula dihasilkan dari pusat pemasangan pertama Porsche di luar Eropah pada Mac tahun lalu. Cayenne pemasangan tempatan dilancarkan pada November 2021 pada harga RM550,000, termasuk duti dan cukai tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Ditawarkan dengan versi asas, Cayenne CKD ini adalah lebih murah sebanyak RM115,000 berbanding model CBU, dan harga yang dinyatakan adalah berdasarkan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD pada waktu itu. Menurut laman web Porsche Malaysia, harga runcitnya telah dinaikkan menjadi RM575,000 mulai 1 Julai 2022.

Di bawah bonetnya, Cayenne diberikan enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa 340 PS (335 hp) pada 5,300 rpm hingga 6,400 rpm dan tork 450 Nm pada 1,340 hingga 5,300 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik Tiptronic lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda aktif, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan kelajuan maksimum cecah 245 km/j.

Ciri standard yang diberikan termasuklah lampu utama LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, kawalan suhu empat-zon, Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 12-inci, perkhidmatan Porsche Connect dan kesepaduan Apple CarPlay, Porsche Advanced Cockpit, roda stereng sport, pedal penukar gear, konsol tengah dilengkapi Direct Touch Control dan Comfort Access.

Versi CKD juga menerima lebih banyak kelengkapan berbanding CBU, termasuk roda rekaan RS Spyder 21-inci, sistem bunyi sekeliling Bose, tempat duduk larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, Park Assist dengan pandangan sekeliling, belakang dan hadapan. Pembeli juga boleh memilih antara tiga warna luaran – Carrara White Metallic, Jet Black Metallic dan Quartzite Grey Metallic – bersama dua pilihan warna kulit untuk dalaman – Hitam dan dua-tona Black-Bordeaux Red.

Pelanggan juga boleh terus memilih beberapa pakej tambahan, temasuk Porsche Exclusive Manufaktur yang ditambah dengan pakej penggayaan SportsDesign (apron hadapan yang unik dan gerbang roda yang lebih menyerlah), sistem ekzos sport, kluster pencahayaan lapisan gelap, projektor pintu LED dengan logo jenama dan key fob yang sepadan dengan warna luaran dengan kesemuanya bernilai RM52,000 (sebelum ini ia berharga RM58,000). Selain itu, ia turut ditawarkan pakej personalisasi Porsche Design berharga RM38,888.

Pilihan kelengkapan lain yang turut disenaraikan menerusi laman web Porsche Malaysia termasuk
Porsche Tequipment yang merangkumi jaring tempat simpan barang RM536), boot liner (RM842), alas lantai untuk semua-cuaca (RM1,027), produk penjagaan kereta (RM1,095) dan rak basikal (RM3,032).

GALERI: Porsche Cayenne CKD 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required