Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km

Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km

Neta, sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari China mula masuk ke Malaysia dengan menawarkan model Neta V, yang sekarang merupakan kereta elektrik (EV) paling murah, dengan harga jualan RM99,800 tidak termasuk insurans. Menurut syarikat pengedar Neta di sini, iaitu Intro Synergy, ini cuma baru permulaan dan ia seterusnya akan diikuti pula dengan ketibaan Neta U dan Neta S.

Di sini, kita ingin melihat lebih lanjut kepada Neta S, yang mana sebuah unit telah tiba di negara kita untuk tujuan pra tonton, dari China. Ia bagaimanapun tidak menggambarkan spesifikasi model yang akan dilancarkan di negara kita, dan sebab itulah sistem infotainmennya juga dilihat masih tidak menggunakan Bahasa Inggeris dan soket pengecasnya adalah berbeza.

Neta S adalah sebuah sedan elektrik penuh yang pertama kali ditunjuk kepada dunia sewaktu Auto Shanghai 2021. Ia membawa kesinambungan daripada model Eureka 03 Concept, dan dijual pada harga antara 189,800 hingga 341,800 yuan (RM123,138 hingga RM221,753) di China.

Mempunyai ukuran panjang 4,980 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,450 mm dan jarak roda 2,980 mm, Neta S mempunyai saiz lebih besar berbanding Honda Accord yang ada sekarang dan menggunakan bentuk licin beralun yang mampu memberikan kecekapan rintangan udara serendah 0.216 Cd.

Bagi ciri rekaannya, selain penggunaan lampu DRL LED nipis dan bukaan udara hiasan besar di hadapan, ia juga lebih menyerlah kerana menggunakan pintu hadapan yang terbuka ke atas. Jalur lampu di belakang pula bersambung dari kiri ke kanan.

Di dalam kereta ini terdapat banyak skrin, bermula dengan panel instrumen digital 13.3 inci di hadapan pemandu, skrin sesentuh 12.3 inci bertentangan penumpang hadapan, dan yang paling besar, skrin 17.6 inci menegak di bahagian tengah papan pemuka yang juga digunakan untuk kawalan fungsi kenderaan termasuk pendingin hawa.

Neta S dipertonton di Malaysia – sedan EV dengan pintu buka ke atas, jarak gerak sehingga 715 km

Kelengkapan lain yang ada pada Neta S adalah termasuk bumbung panoramik, tempat duduk larasan kuasa, pengecas tanpa wayar di konsol tengah, head-up display, pengawal suhu tiga zon, panel sesentuh untuk mengawal cermin, tempat duduk belakang boleh sandar serta pelbagai sensor dan kamera untuk sistem bantuan pemandu ADAS.

Neta S yang anda lihat ini mempunyai dua soket pengecas yang mengikut standard GB/T. Soket di bahagian kanan yang nampak seperti Type 2 biasa tetapi pinnya adalah berlainan berbanding Type 2 Eropah, adalah untuk pengecasan AC, sementara satu lagi soket untuk pengecasan DC hanya boleh menerima sambungan GB/T dan tidak bukannya CC2 atau CHAdeMO.

Di China, Neta S ditawarkan dengan penggerak elektrik penuh dan juga range extender. Model range extender menggunakan bateri lithium ion 43.88 kWh atau 43.51 kWh, dan mendapat sokongan daripada enjin pembakaran dalaman 1.5 liter, memberikan jarak gerak CLTC sehingga 1,160 km. Model ini hanya datang dengan tetapan pacuan roda belakang, dengan motor elektrik itu boleh menghasilkan kuasa 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 310 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum adalah 185 km/j.

Untuk model elektrik penuh pula, dua jenis bateri disediakan dengan kapasiti yang pelbagai, termasuk lithium iron phosphate (64.46 kWh) dan ternary lithium ion berkapasiti 84.5 kWh, 85.11 kWh dan 91 kWh. Bateri LFP boleh memberikan jarak gerak sehingga 520 km dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, sementara bateri yang berikutnya, dalam kapasiti 84.5 dan 85.11 kWh boleh memberikan jarak gerak sehingga 715 km sekali cas dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Pek bateri paling besar hanya ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda, yang mempunyai dua motor elektrik dan output keseluruhan 462 PS (456 hp atau 340 kW) dan tork 620 Nm. Model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km dan membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

Meskipun Neta S ini nampak menarik, ia sebenarnya masih lambat lagi untuk tiba dan dijual secara rasmi di Malaysia kerana menurut Intro Synergy, ketibaan sedan EV ini hanya dijangka berlaku pada suku pertama tahun 2025. Anda mahu tunggu?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required