Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

Selepas didedahkan pada September 2021 menerusi Munish Motor Show, akhirnya Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ 2023 tiba di pasaran negara kita. Malahan ia menjadi model kenderaan elektrik penuh pertama di bawah payung Mercedes-AMG. Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ 2023 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM798,888 tanpa insurans.

Seperti model biasa EQS yang diperkenalkan pada April 2021, model EV bagi AMG EQS ini juga didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ sepenuhnya, hasil janaan dua motor elektrik diletakkan pada setiap gandar. Dalam bentuk asas, keseluruhan output bagi e-motor ini berjumlah 658 hp atau 484 kW dan tork 950 Nm, di mana ia lebih padu daripada yang dihasilkan oleh EQS 580 4Matic dengan hanya 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 855 Nm.

Walau bagaimana pun, EQS 53 4Matic+ menawarkan kuasa pendikitan yang lebih padu, mengambil masa sekitar 3.8 saat untuk pecutan dari 0-100 km/j berbanding EQS 580 4Matic dengan 4.3 saat. Malahan kelajuan maksimumnya juga sedikit tinggi iaitu 220 km/j berbanding 210 km/j.

Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

Bagi mendapatkan daya tarikan atau traction yang lebih optimum, sistem pacuan semua-roda ini akan berterusan memantau situasi permanduan (tork diperiksa 10,000 kali setiap minit) dan pengedaran tork bagi antara gandar. Dalam mod Comfort, sistem menyasarkan penjimatan yang paling maksima, tetapi dengan Sport dan Sport+, pacuannya lebih besar pada bahagian bekakang untuk “sisi dinamik yang lebih terbaik”.

Jika anda mahukan lebih biasa, jenama ini juga menawarkan pakej AMG Dynamic Plus dengan ledakan kuasa yang lebih padu mencecah 761 hp atau 560 kW) dan 1,020 Nm, dan turut diberikan mod Race Start dengan fungsi boost. Di mana pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 3.4 saat dan kelajuan maksimum mampu cecah 250 km/j.

Menurut Mercedes-AMG, output yang padu datangnya daripada e-motor spesifik untuk model ini dengan menampilkan winding baharu, arus yang lebih kuat dan penggerak baharu dengan perisian khas yang dibangunkan. Selain itu, syarikat ini turut mengimplementasikan konsep terma yang lebih mantap untuk memastikan prestasi lebih konsisten dengan kemuncak yang dipanggil “water lance” untuk menyejukkannya dalam aci pemutar (shaft of rotor).

Terdapat juga penyejuk minyak transmisi tambahan yang bukan sahaja memastikan transmisi sejuk semasa pemanduan hardcore, tetapi juga memanaskan cecair jika diperlukan semasa pemanduan sejuk.

Selain menyalurkan kuasa, sistem pacuan juga menawarkan pemulihan tenaga sehingga 300 kW apabila membrek, dengan pemandu dapat melaraskan tahap pemulihan. Terdapat tiga peringkat yang boleh dipilih melalui suis pada stereng, dan dengan pilihan Drive Pilot, nyahpecutan bertindak secara automatik sebagai tindak balas kepada kenderaan yang dikesan di hadapan sehingga ia terhenti, seperti ketika menghampiri lampu isyarat.

Di mana tenaga yang dipulihkan akan dikembalikan kepada bateri lithium-ion 107.8-kWh dengan kuasa 400-voltan, yang menggunakan kandungan cobalt kurang 10%. Walaupun kandungan tenaga boleh guna adalah sama dengan EQS 580 4Matic, model AMG mendapat pendawaian khusus untuk menyokong keupayaan prestasi tingginya, yang mengikut mod pacuan yang dipilih.

Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

AMG EQS turut diberikan pengecas onboard AC 11 kW, yang boleh dinaiktaraf hingga unit 22 kW. Ia mengambil masa sekitar 11 jam 15 minit untuk pengecasan penuh jika menggunakan unit AC. Selain itu, ia turut menyokong pengecas pantas DC sehingga 200 kW, yang mampu megecas untuk jarak pacuan sehingga 300 km dalam 15 minit. Dengan pengecasan penuh, ia mampu memberikan jarak pacuan antara 513 km hingga 571 km mengikut kadar WLTP, kurang berbanding EQS 580 4Matic yang mampu memberikan 676 km.

Lain-lain ciri yang lebih kurang sama dengan model standard ialah larasan suspensi four-link pada bahagian hadapan dan multi-link untuk belakang, namun AMG EQS menerima sistem AMG Ride Control+ yang menggabungkan suspensi udara dengan adaptif dan peredam kawalan elektronik.

Turut disertakan ialah stereng gandar belakang sehingga sembilan darjah, meningkatkan ketangkasan dan pusingan yang lebih ketara untuk sedan besar ini. Ia beroperasi pada kelajuan di bawah 60 km/j, kemudian roda belakang akan menghala ke arah yang sama dengan roda hadapan untuk jarak roda yang dilanjutkan.

AMG EQS turut dilengkapi sistem brek dengan cakera 415 mm dan kaliper enam-omboh di hadapan, dan di belakang diberikan cakera 378 mm dan kaliper omboh-tunggal. Ia turut ditawarkan dengan pakej seramik, di mana cakera depan dipertingkatkan ke diameter 440 mm.

Untuk aspek rekaannya, EQS 53 4Matic+ agak mirip dengan EQS biasa tetapi diberikan pakej AMG Line, yang membuatkannya lebih terserlah. Di hadapannya, rekaan Panamericana ditampilkan pada gril panel hitam, dengan perkataan AMG, sementara fender hadapan diberikan lencana 4Matic+. Ia turut diberikan sistem pencahayaan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Selain itu, ia juga diberikan splitter hadapan, corong udara pada bampar, panel ambang sisi AMG, bumbung suria gelangsang panoramik, diffuser belakang dengan enam sirip, spoiler belakang bersaiz besar, serta roda aloi-ringan cross-spoke AMG 21-inci.

Di dalamnya pula, tempat duduk AMG dengan grafik individu ditampilkan bersama balutan kulit Artico, gentian mikro Microcut dan jahitan kontras merah. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa untuk balutan tempat duduk. Lain-lain ciri yang turut diberikan termasuklah roda stereng prestasi AMG, bersama pedal sport, alas lantai dan kemasan ambang pintu dengan pakej AMG.

Ia juga masih diberikan Mercedes-Benz User Experience Hyperscreen (MBUX Hyperscreen) daengan tiga skrin ditempatkan merentasi papan pemuka, selain mod pemanduan AMG Dynamic Select , paparan OLED untuk penumpang hadapan, sistem multimedia MBUX, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengimbas cap jari dan sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D.

Pemandu juga boleh memilih dua versi bagi AMG Sound ExperienceAuthentic dan Performance (ditawarkan dengan AMG Dynamic Plus) – untuk menghasilkan bunyi yang diingini mengikut status pemanduan semasa.

Untuk aspek keselamatan, ia lengkap dengan pakej Driving Assistance Plus yang merangkumi Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive manoeuvre support,PRE-SAFE® impulse side, penderia belakang untuk bantuan ketibaan lorong, pakej parkir dengan fungsi Remote Parking, kamera 360°, dan Active Parking Assist.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required