Selepas beberapa imej yang bocor, kini secara rasmi kembar MPV Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu didedahkan di Jepun. Kedua-dua model serba baharu ini sudah pun boleh beli oleh pelanggan di Jepun mulai hari ini dengan harga bermula 5.4 juta yen (RM177,170) hingga 8.72 juta yen (RM286,096) untuk Alphard dan antara 6.55 juta yen (RM214,900) sehingga 8.92 juta yen (RM292,658) untuk Vellfire.
Model generasi keempat ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA), atau lebih spesifik ia menggunakan platfrom TNGA dari versi GA-K. Menurut Toyota, kerangka baharu untuk Alphard dan Vellfire ini menampilkan asas lurus serta pendakap berbentuk-V pada bahagian bawahnya bagi memberikan kadar ketegaran 50% lebih kuat berbanding model sebelumnya.
Toyota turut mengoptimakan penggunaan perekat struktur bagi mengehadkan perubahan bentuk badan serta mencapai “kendalian dan kestabilan luar biasa”. Dengan platform TNGA ini juga, Alphard dan Vellfire menampilkan konfigurasi suspensi topang McPherson pada sebelah hadapan serta double wishbone di belakang.
Untuk varian-varian tertentu, MPV ini dipadankan dengan penyerap hentak yang mampu melaras daya redaman secara mekanikal berdasarkan frekuensi dan getaran yang dipindahkan dari permukaan jalan. Manakala pada tempat duduk, Toyota memadankan set getah bushing pada bahagian yang melekat pada kerangka kusyen serta busa bermemori bagi mengurangkan getaran sehingga 30%.
Saiz bagi kedua-dua kembar MPV ini dilihat hampir sama seperti model generasi sebelumnya – ia lebih panjang dengan ukuran 4,995 mm, tetapi lebar dan jarak roda kekal masing-masing 1,850 mm dan 3,000 mm. Manakala tinggi untuk Alphard dan Vellfire 2023 ini adalah berbeza dari 1,935 mm dan 1,945 mm bergantung pada model dan varian.
Menurut Toyota, saiz MPV ini perlu dikekalkan sedemikian rupa dan tidak dibesarkan lagi kerana ia perlu mengikut saiz sistem parkir automatik di Jepun dengan had panjang 5,000 mm dan lebar 1,850 mm. Namun dengan susunan semula yang dibuat, pasukan pembangunan model baharu ini berjaya memberikan ruang 5mm lebih luas antara tempat duduk hadapan dan baris kedua, serta 10 mm antara tempat duduk baris kedua dengan baris ketiga.
Ia dapat dilakukan dengan mengubahsuai posisi pemanduan dan juga struktur tempat duduk baris kedua, menipiskan kedua-dua belah panel kemasan suku pada tempat duduk baris ketiga dan panel kemasan pintu belakang dengan kadar sekitar 0.1 mm, dakwa Toyota.
Dengan dimensi ini juga membuatkan Alphard dan Vellfire masih lagi nampak ‘berkotak’ seperti model generasi sebelumnya. Toyota menyatakan bahawa model serba baharu ini direka dengan konsep “berkuasa dan memberikan impak mewah” bagi “mewujudkan rasa solid pada kenderaan, seperti seekor lembu jantan yang sedang bertempur sepenuhnya”.
Seperti sebelum ini, Alphard tampil dengan imej lebih eksklusif dan mewah, manakala Vellfire pula datang dengan gaya lebih sporty. Untuk Alpahrd, ia menerima gril bersaiz besar bersama elemen bersalut krom, diapit dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus serta jalur lampu nyalaan siang di bawahnya yang kelihatan seperti sebahagian dari gril.
Manakala Vellfire pula diberikan gril dengan elemen bar krom tebal yang disusun tebal melintang, dan juga lampu hadapan yang nampak lebih tebal. Ia juga menampilkan bampar dengan kemasan liang udara palsu bersaiz besar pada kedua-dua sisi.
Di belakang pula, kluster lampu untuk kedua-dua model ini nampak sama, dibezakan dengan grafik LED di dalamnya – Alphard tampil dengan grafik seakan elemen pada gril hadapan, manakala Vellfire diberikan grafik berbentuk huruf-U berkembar.
Profil sisi untuk kedua-dua MPV ini nampak sama dengan garis di bawah tingkap dari hadapan ke belakang yang membentuk huruf-Z. Satu lagi perubahan terbesar pada model generasi baharu ini adalah ia diberikan cermin suku pada tiang-A sama seperti kembar MPV Voxy dan Noah.
Toyota menyatakan mereka mempunyai masalah bagi mengurangkan bunyi angin pada MPV berkotak ini. Namun ia berjaya dikurangkan menerusi pelbagai usaha yang dibuat seperti mengoptimakan bentuk bahagian hud enjin, cermin sisi dan tiang-A yang terdedah pada angin. Alphard dan Vellfire 2023 ini juga diberikan tayar yang lebih senyap dan juga penambahan material penebat bunyi bagi memberikan kabin yang lebih senyap.
“Dengan mengurangkan jumlah bunyi yang dijana, dan dengan mewujudkan frekuensi gelombang bunyi yang seimbang, bahagian dalam MPV ini menjanjikan ketenangan yang menyenangkan, seperti berada di tengah-tengah hutan,” dakwa Toyota.
Untuk bahagian dalaman, Alphard dan Vellfire berkongsi rekaan terkini yang sama. Papan pemukanya kini menampilkan rekaan lebih ringkas di mana butang-butang fizikal untuk kawalan pelbagai fungsi kini sudah diletakkan pada skrin utama sebagai suis digital.
Skrin tersebut juga kini nampaknya lebih besar dan ia diletakkan di atas liang penghembus pendingin hawa bahagian tengah. Konsol tengah juga diatur dengan lebih kemas di mana tombol gear diletak selari dengan butang lain termasuk brek parkir elektronik (dengan fungsi auto hold), mod pemanduan dan kawalan traction. Manakala untuk pemandu, roda stereng rekaan baharu diberikan bersama paparan instrumen digital.
Perincian untuk penumpang di kabin belakang juga kini dipertingkat jauh lebih baik dari sebelum ini. Akses untuk kabin kabin belakang kini lebih mudah dengan pemadanan Universal Steps pada kedua-dua belah pintu gelangsar, yang akan diturunkan dengan jarak sekitar 220 mm dari permukaan tanah apabila pintu dibuka.
Bukan sahaja dengan ‘tangga’ yang lebih rendah, kanak-kanak dan orang tua juga akan lebih mudah untuk masuk ke kabin belakang berkenaan dengan pemegang panjang yang diletakkan pada kedua-dua belah tiang-C. Kabin belakang Alphard dan Vellfire ini diberikan konsol atas kepala ‘super-panjang’ yang bukan sahaja menempatkan suis kawalan adan juga liang pendingin hawa, malah ia juga menampilkan elemen lampu untuk fungsi lampu suasana.
Untuk bumbung suria di belakang pula, ia kini menampilkan pelindung cahaya berasingan untuk penumpang kiri dan kanan bagi; sekiranya penumpang kiri mahu ‘menikmati’ cahaya matahari, ia tidak akan menggangu penumpang di sebelah kanan. Pelindung matahari manual juga kini diberikan pada cermin tingkat kiri dan kanan.
Alpphard didatangkan dalam dua varian iaitu Z dan Executive Lounge, manakala Vellfire pula ditawarkan dalam varian Z Premier dan Executive Lounge. Kesemua varian menampilkan enam-tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2, di mana baris kedua diberikan tempat duduk kaptern dengan fungsi ottoman kawalan kuasa.
Bagi varian Executive Lounge, tempat duduk kapten tersebut turut diberikan meja yang boleh dilipat serta fungsi pemanas dan aliran udara. Ia juga diberikan panel kawalan yang boleh dicabut untuk mengawal pemain media, pendingin udara dan juga pelindung cahaya matahari.
Dua unit rangkaian kuasa ditawarkan untuk Alphard iaitu versi petrol penuh dan hybrid. Bagi model petrol sepenuhnya, Alphard dijana oleh enjin 2AR-FE 2.5 liter empat silinder NA berkuasa 182 PS (180 hp) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 235 Nm pada takat 4,100 rpm.
Ia digandingkan dengan kotak gear Super CVT-i dan seperti biasa, model pasaran domestik Jepun (JDM) ini ditawarkan sama ada dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.
Manakala untuk Alphard Hybrid, ia menggandingkan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter empat silinder NA berkuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 236 Nm bermula 4,300 hingga 4,500 rpm, bersama sistem hibrid siri-selari.
Sistem hibrid tersebut terdiri dari motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS (180 hp)/270, membolehkan ia menghasilkan kuasa keseluruhan 250 PS (247 hp atau 184 kW). Ia digandingkan dengan kotak gear CVT elektronik (E-CVT), juga dengan pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.
Untuk model hybrid dengan sistem pacuan semua roda, ia tidak diberikan sistem AWD konvensional, sebaliknya menggunakan sistem E-Four, di mana gandar belakang digerakkan dengan satu lagi motor elektrik, secara spesifiknya motor 4NM berkuasa 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan tork 121 Nm. Kesemua motor hibrid berkenaan menerima kuasa dari bateri nikel logam hidrasi (NiMH) 5 Ah.
Untuk Vellfire pula, ia turut ditawarkan dalam versi hibrid dengan sistem yang sama, tetapi ia dipadankan dengan enjin T24A-FTS 2.4 liter turbo (enjin yang sama pada Lexus LM 500h) yang menghasilkan kuasa 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork maksima 430.
Ia juga menerima kotak gear lebih sporty iaitu transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift-8AT, juga dengan pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda. Sifat sporty pada Vellfire ini turut dipertingkat dengan pemadanan set pendakap khas Front Performance Brace, yang menghubungkan penyokong radiator kepada kerangka sisi, bagi memberikan ketegaran badan lebih tinggi dan memberikan respon lebih baik walaupun ia sedang dipecut dari kedudukan pegun.
Untuk sistem bantuan pemanduan pula, Alphard dan Vellfire 2023 ini diberikan sistem Toyota Safety Sense yang menampilkan sistem brek kecemasan automatik dan lain-lain. Ia juga diberikan sistem Proactive Driving Assist yang mampu meramalkan input pemandu, sistem Intra-Lane Steering Assist yang melaras semula kadar balikan semula stereng bagi memberikan pemanduan lebih lancar serta sistem Deceleration Assist when Turning at Intersections yang menawarkan bantuan untuk memperlahankan kereta bagi membolehkan pemandu membelok ke kiri atau ke kanan dengan lebih mudah.
Ia juga hadir dengan sistem yang digelar Toyota Teammate, yang memberikan fungsi termasuk Advanced Park bagi membolehkan pemandu memarkir kenderaan atau keluar dari petak parkir dengan berada di luar kenderaan menggunakan aplikasi telefon pintar.
Alphard dan Vellfire ini juga diberikan sistem Advance Drive (cruise control adaptif dengan fungsi kelajuan rendah) bagi memberikan bantuan sokongan ketika kesesakan trafik serta mengurangkan kelesuan pemandu.
Toyota menjangkakan Alphard dan Vellfire ini akan dijual sebanyak 8,500 unit setiap bulan di Jepun, dengan 70% daripadanya adalah Alphard serta 30% selebihnya adalah Vellfire. Kedua-dua model ini juga merupakan MPV mewah yang popular di Malaysia, kebanyakkannya adalah unit yang dibawa masuk oleh pengusaha kereta recond, dan ia turut pernah ditawarkan secara rasmi oleh UMW Toyota.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.