Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Khamis ini, 29 Jun 2023, ANIH Berhad menjangkakan lebih satu juta kenderaan dari Lembah Klang bakal keluar menerusi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula hari ini, 27 Jun, untuk pulang ke kampung masing-masing.
Menurut CEO ANIH Berhad Imran Gulcharan Abdullah, pihaknya menjangkakan peningkatan peningkatan trafik sehingga 70% membabitkan KLK. Manakala lebih kurang 430,000 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan anggaran peningkatan sebanyak 60%.
“ANIH telah mengeluarkan cadangan jadual perjalanan (TTA) untuk tempoh bermula 27-28 Jun ini dan 1-2 Julai 2023. TTA ini bertujuan memberi maklumat penting kepada pengguna lebuhraya ini mengenai corak aliran trafik serta membantu mereka merancang perjalanan semasa musim perayaan Aidiladha,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan,
Bagi pengguna yang datang dari arah Selangor dan Kuala Lumpur yang menuju ke Pahang, anda disarankan melalui kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 12 tengahari atau 9 malam. Bagi yang menuju ke Terengganu dan Kelantan pula, disarankan memulakan perjalanan selepas jam 6 pagi atau 7 malam. Cadangan waktu berkenaan untuk mereka yang bakal memulakan perjalanan pada 28 Jun.
Manakala untuk mereka yang bakal menuju ke Kuala Lumpur dan Selangor pada tempoh 1 higga 2 Julai pula, jika bergerak dari Pahang, anda disarankan memulakan perjalanan sebelum 6 pagi atau 7 malam. Untuk yang dari Terengganu pula, disarankan untuk memulakan perjalanan sebelum 10 pagi atau 8 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan menggunakan kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 5 petang.
Bagi bas ekspres pula, waktu perjalanan yang dicadangkan untuk ke Pantai Timur dari Tol Gombak adalah 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengahmalam.
Menurut Imran lagi, ANIH juga akan membuka laluan kontra di lokasi tumpuan yang mengalami kesesakan dan lorong tol tambahan bagi transaksi bayaran secara manual. Selain itu, pihaknya juga akan menambah bilangan kakitangan sokongannya sehingga 20%, yang terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC). Selain menempatkan 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik.
“Sebelum memulakan perjalanan, pengguna lebuhraya ini dinasihati memastikan baki yang mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.
“Selain itu, sila patuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada pegawai lebuhraya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang terjamin,”katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.