Mitsubishi Outlander PHEV 2023 dijumpai di Malaysia – SUV 7-tempat duduk ini akan kembali ke sini?

Mitsubishi Outlander PHEV 2023 dijumpai di Malaysia –  SUV 7-tempat duduk ini akan kembali ke sini?

Buat masa sekarang, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hanya ada dua model yang dijual di bilik pameran iaitu trak pikap Mitsubishi Triton dan juga MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander. Jadi ini mungkin ada sinar bagi peminat Mitsubishi yang mahukan pilihan lebih banyak kenderaan jenama tiga berlian itu di sini – sebuah SUV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Outlander generasi baharu telah dilihat di SS2 Petaling Jaya!

Imej ini berjaya dirakam oleh individu yang hanya mahu dikenali oleh Jerry Mun. Unit berkenaan dilihat sudah pun menerima plat pendaftaran Malaysia yang sah – jadi sudah tentu Outlander baharu ini sudahpun mendapat kelulusan VTA dari JPJ dan tidak mempunyai masalah untuk dilancarkan di Malaysia bila-bila masa dari sekarang.

Jika diamati lagi, model yang dilihat ini adalah dari varian plug-in hybrid (PHEV) dan bukan model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya. Outlander sememangnya pernah dijual di Malaysia oleh MMM, dan ia turut turut dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) bagi model generasi sebelum ini.

Mitsubishi Outlander generasi keempat ini membuat kemunculan sulung globalnya pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform CMF-C/D Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail generasi keempat. Manakala untuk rekaan luaran dan dalaman, Outlander serba baharu ini merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Engelberg Tourer yang didedahkan pada 2019.

Bagi model petrol penuh Outlander turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama seperti X-Trail. Namun bagi versi PHEV, ia masih mengekalkan teknologi asli dari Mitsubishi iaitu sistem rangkaian kuasa Mitsubishi yang ditingkat taraf dari Outlander PHEV generasi terdahulu.

Model PHEV berkenaan menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.

Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.

Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Bukan sahaja lebih berkuasa, malah sistem ini turut membolehkan Outlander berkenaan bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 55 km sehingga 87 km dalam kitaran WLTP.

Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).

Setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman atau petunjuk rasmi dari MMM berkenaan Outlander PHEV generasi baharu tersebut. Anda rasa bagaimana? Patutkan MMM menawarkan model yang lebih canggih ini di Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required