Sedar tak sedar, 9 Julai ini genap 38-tahun usia kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga selepas unit pertama model generasi pertamanya keluar dari kilangnya di Shah Alam pada 9 Julai 1985, dan dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed (ketika itu Perdana Menteri ke-4 dan juga pengasas Proton) pada 1 September 1985.
Jadi untuk meraikan sambutan ulang tahun berkenaan, Proton akan mengadakan Mini Karnival Ulang Tahun ke-38 Saga bertempat di Ibu Pejabatnya iaitu Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) yang terletak berhampiran susur keluar persimpangan Hicom Lebuhraya Shah Alam (KESAS) pada hari Ahad ini – jatuh tepat pada 9 Julai.
Bagi pemilik-pemilik Saga tidak kira dari mana-mana generasi atau varian, satu perhimpunan turut akan diadakan pada hari berkenaan. Sekiranya anda berminat untuk menyertai perhimpunan ini, anda boleh berhubung dengan Allan Cham untuk mendaftar menerusi aplikasi Whatapps pada PAUTAN INI, dan sertakan maklumat seperti nama, model kereta, tahun pengilangan, nombor pebdaftaran kenderaan dan nombor telefon.
Proton R3 turut akan menyertai karnival ini dengan membawa kereta lumba Proton Saga yang digunakan dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K), bukan hanya untuk dipamerkan, malah sesi ‘Taxi Ride’ turut akan dibuat di mana anda berpeluang duduk di tempat duduk penumpang dan dipandu oleh pelumba R3 iaitu James Veerapan.
Tak cukup dengan itu, pemandu rali dan stuntman Faidzal Alang turut akan hadir ke Mini Karnival ini untuk membuat persembahan memandu Proton Saga hanya dengan dua tayar ala-persembahan Russ Swift ketika Proton mempromosikan Proton Saga Knight dahulu.
Proton turut akan menyediakan ruang pameran untuk anda mempelajari sejarah dan evolusi Saga sejak ia dilancarkan sehingga model terkininya yang dijual di bilik pameran. Gerai jualan cenderamata asli jenama Proton juga akan dibuka ketika Mini Karnival ini berlangsung.
Untuk anda yang membawa keluarga, Mini Karnival ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan “Kira untuk Menang” yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan juga persembahan “Proton Kids Got Talent”. Pelbagai gerai jualan makanan juga akan dibuka di karnival ini bagi memudahkan anda mengisi perut dan membasahkan tekak.
Diingatkan Mini Karnival Ulangtahun ke-38 ini bukan hanya untuk pemilik Saga, sebaliknya ia dibuka untuk semua orang awam dan masuk adalah percuma. Acara ini akan bermula seawal 7 pagi dan akan berakhir pada pukul 7 petang. Tak tahu macam mana nak pergi ke CoE Proton? Klik PAUTAN INI bagi mendapatkan bantuan navigasi aplikasi Waze.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.