Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

Sebut sahaja Karamjit Singh, dua benda yang akan terbayang dalam kepala kita iaitu sukan rali dan juga jenama automotif nasional kita, Proton. Beliau memulakan kariernya sebagai pemandu rali dengan menyertai Castrol Daylight Rally pada 1984 dengan Peugeot 404 milik ayahnya, dan kemudian beralih kepada beberapa kereta lain seperti Datsun 120Y dan Ford Escort.

Namun kariernya sebagai pemandu bertaraf professional bermula pada tahun 1988 apabila berjaya dipilih sebagai pemandu pasukan works Proton iaitu Petronas EON Racing Team (PERT). Pada peringkat awal, Karamjit diberi kepercayaan untuk memandu jentera pacuan hadapan Proton Saga Group S 2WD, dan kemudian apabila beliau mula mendominasi kategori tersebut, PERT memberi kepercayaan padanya untuk mengemudi ‘rasaksa’ pasukan tersebut iaitu Proton Iswara Group S 4WD.

Jentera berkenaan disumbat dengan enjin 4G63 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti Mitsubishi Galant VR4 menjana lebih 300 hp, bersama kotak gear sequential serta sistem pacuan semua roda. Kemudian apabila PERT beralih ke jentera Lancer Evolution II dan III yang dihomolagasikan sebagai Proton Wira 4WD, Karamjit mula kerap menang pada peringkat antarabangsa dan berjaya bergelar juara untuk kategori Group N dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun 1997.

Karamjit Singh kemudiannya bergelar juara keseluruhan APRC untuk musim 2001, 2002 dan 2004 kali ini dengan jentera Lancer Evolution V dan VI yang dihomolagasikan sebagai Proton PERT, dan yang paling manis beliau dan PERT berjaya bergelar juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kelas produksi (PWRC) pada tahun 2002 hanya dalam percubaan musim pertama mereka.

Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

Walau bagaimanapun, pada tahap puncak berkenaan PERT telah dibubarkan dan sayap perlumbaan rasmi Proton diambil alih pasukan Proton R3 (Race.Rally.Research). Namun pasukan berkenaan masih dipimpin oleh prinsipal pasukan PERT sebelum itu iaitu Datuk Razak Dawood, dan Karamjit Singh masih memandu untuk Proton.

Penampilan terakhir Karamjit bersama Proton R3 dalam APRC adalah pada 2011 dan 2012, di mana beliau berjaya bergelar juara untuk kategori Group N 2WD dengan Proton Satria Neo 1.6, dan memberikan cabaran sukar buat jentera-jentera lebih berkuasa dalam kelas 4WD. Karamjit juga sempat merangkul gelaran juara 2WD dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015 dengan Satria Neo pasukan R3 tersebut.

Selepas itu dengan kesukaran untuk mendapatkan penaja, Karamjit telah membeli Proton Gen2 4WD terpakai pada 2017 dan digunakan untuk berlumba sehingga kini.

Namun Gen2 ini bukan jentera biasa-biasa. Ia ini sebenarnya telah dihasilkan oleh Proton sendiri pada tahun 2007 sebagai rakan teknikal kepada Felda Rally Team. Pasukan rali Felda tersebut diketuai oleh Brain Palmer iaitu individu yang bertanggungjawab membina banyak jentera rali Proton termasuk Satria 1.6 Group A yang telah menyertai WRC Safari Rally 1997 serta menjadi juara untuk kategori Formula 2WD/A6.

Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

Dan ketika pasukan Rali Felda tersebut dilancarkan, Gen2 berkenaan dipandu oleh seorang lagi bintang rali negara yang pernah menyinar satu ketika dulu iaitu Saladin Mazlan bersama juruarahnya, Arish Qutb.

Proton Gen2 tersebut tidak lagi menggunakan enjin 1.6 Campro S4PH asal, di mana ia telah digantikan dengan enjin 4G63 2.0 liter empat silinder turbo yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution. Bukan itu sahaja, malah kotak gear dan juga sistem pacuan empat roda dari Evo juga turut disalin terus pada Gen2 ini.

Buat masa sekarang kereta ini dijaga dan diselenggara oleh pasukan rali tempatan iaitu MRU Motorsport. Dan walaupun usia kereta ini telah lebih 15 tahun dan usia Karamjit yang sudah melangkaui 60 tahun, masih tiada lagi pelumba tempatan yang mampu menyaingi kedua-duanya dalam pusingan tunggal Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 di Maran, Pahang Julai tahun lalu.

Malah Karamjit turut ke Indonesia pada September 2022 untuk menyertai Rally Danau Toba 2022, yang juga merupakan pusingan kedua Kejurnas Rali Indonesia serta pusingan keempat Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) piala Asia 2022. Kali ini Karamjit dan Gen2 perlu berhadapan dengan lawan yang jauh lebih kuat iaitu jentera-jentera spesifikasi AP4 dan R5/Rally2 paling moden dalam dunia rali buat masa sekarang.

Art of Speed 2023: Proton Gen2 2.0L 4WD Karamjit Singh – ‘kuda tua’ yang masih menggentarkan lawan!

Namun pejuangan Karamjit Singh dan juruarahnya Jagdev Singh, tamat seawal SS2 kerana berhadapan dengan masalah mekanikal dimana gandar belakang Proton Gen2 2.0L 4WD itu rosak teruk. Tetapi sebelum Gen2 itu rosak, Karamjit terlebih dahulu mengejutkan peserta lain dengan catatan masa yang begitu kompetitif.

Pada SS1, Karamjit Singh berjaya mencatatkan masa keempat terpantas secara keseluruhan, dengan Sean Galael yang memandu Citroen R5 pasukan Jagonya Ayam berada di tempat pertama, diikuti Rifat Sungkar (Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Team) dan Ryan Nirwan (Toyota GR Yaris AP4 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia).

Masa yang dicatatkan oleh Karamjit berkenaan jelas lebih pantas dari beberapa pemandu lain yang memandu jentera yang jauh lebih moden dengan spesifikasi terkini R5, AP4 dan ProtoCars yang dikelaskan dalam kategori M1. Sedangkan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit bukan sahaja sudah berusia 15 tahun, malah ianya masuk dalam kategori M3 iaitu jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA.

Selepas berakhirnya Rali Danau Toba, Gen2 ini tidak terus balik ke Malaysia. Ia telah diperbaiki semula dan kemudian Karamjit dan Jagdev menyertai pula Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 yang berlangsung di Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi pada bulan Oktober.

Tiga perlumbaan serentak berlangsung di litar yang khas dibangunkan untuk rali ini iaitu pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia yang berlangsung pada 21 Oktober, serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober.

Kali ini, Karam dan Jagdev menang besar – muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

Kalau anda nak tengok Proton Gen2 4WD Karamjit Singh ini, ia sekarang sedang dipamerkan di No Equal Motorsport Showcase di Dewan C Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang sempena berlangsungnya Art of Speed 2023. Acara ini akan bermula hari ini dan tamat pada petang esok.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required