Ducati Scrambler generasi kedua tiba di Malaysia – banyak bahagian baru, tiga versi, dari RM62,900

Ducati Scrambler generasi kedua tiba di Malaysia – banyak bahagian baru, tiga versi, dari RM62,900

Ducati Scrambler generasi kedua yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia dengan tempahan untuknya juga sudah dibuka. Versi permulaan iaitu Icon ditawarkan pada harga RM62,900 sementara versi Full Throttle dan Nightshift dijual pada harga RM69,900 tidak termasuk insurans.

Penampilan ikonik Scrambler masih dikekalkan pada model baru ini, tetapi ia mendapat perincian baru, termasuk lampu hadapan (kini unit LED penuh dengan DRL LED), lampu belakang (LED), tangki (13.5 liter), panel tepi serta rim (masih lagi bersaiz 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang).

Selain tiga warna asas yang disediakan untuk versi Icon (kuning, hitam dan merah), pemilik juga boleh menukar penampilan motosikal ini dengan mendapatkan panel yang disediakan dalam enam pilihan warna. Full Throttle cuma datang dalam warna merah/hitam sementara Nightshift pula hanya disediakan dalam warna biru gelap.

Secara keseluruhannya, Scrambler generasi baru ini empat kilogram lebih ringan berbanding sebelum ini, dan ia adalah hasil daripada casis serba baru serta enjin yang lebih ringan. Lengan ayun juga adalah baru, sementara kedudukan penyerap hentak belakang diubah lebih dekat kepada titik tengah motosikal.

Enjin Desmodue dua silinder L 803 cc penyejukan udara yang sama masih digunakan pada Scrambler generasi kedua, tetapi ia telah dipertingkat untuk menjadikan berat keseluruhannya berkurang 2.5 kg. Transmisi enam kelajuan pada motosikal ini dinaik taraf dengan klac lapan cakera baru, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm tork pada 7,000 rpm.

Buat pertama kalinya, sistem ride-by-wire diperkenalkan kepada Scrambler, dan hasil daripada itu, ia dapat menyediakan dua mod tunggangan (Road dan Wet), kawalan cengkaman, Cornering ABS serta quickshifter (pilihan tambahan bagi Icon dan Nightshift, standard bagi Full Throttle).

Ducati Scrambler generasi kedua tiba di Malaysia – banyak bahagian baru, tiga versi, dari RM62,900

Turut dinaik taraf adalah panel instrumen, dengan sekarang Scrambler mendapat skrin TFT 4.3 inci berwarna penuh. Dalam keadaan standard ia boleh memaparkan pelbagai informasi, tetapi sistem sambungan kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan.

Selain perkara yang dinyatakan di atas, setiap versi Scrambler generasi kedua ini juga menerima peningkatan khas masing-masing. Bagi Icon, ia mendapat bentuk pemegang baru yang lebih rendah dan dekat kepada penunggang, bentuk tempat duduk baru dan panel tepi warna hitam.

Full Throttle yang disediakan sebagai pilihan paling berprestasi datang secara standard dengan quickshifter, balutan tempat duduk sports, panel nombor di tepi, pelindung bawah enjin, pelindung ekzos warna hitam, fender hadapan pendek, tiada fender bawah lampu, ekzos Termignoni serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance.

Nightshift yang lebih elegan juga datang dengan panel nombor tepi, fender hadapan pendek, tiada fender bawah lampu serta lampu penunjuk arah LED Ducati Performance, tetapi dijadikan lebih istimewa dengan rim spoked, tempat duduk balutan kulit, pemegang jenis khas serta cermin sisi di hujung bahagian pemegang (bar-end mirror).

Kelengkapan lain Scrambler generasi kedua ini masih sama seperti sebelumnya, termasuk fork hadapan USD 41 mm Kayaba, monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban, brek cakera tunggal 330 mm bersama angkup empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

GALERI: Ducati Scrambler Icon 2023

GALERI: Ducati Scrambler Full Throttle 2023

GALERI: Ducati Scrambler Nightshift 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required