Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Mitsubishi hari ini mendedahkan SUV segmen-B baharunya yang secara rasmi digelar Xforce ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023. SUV kompak yang direka khas untuk pasaran ASEAN berkenaan merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi XFC yang membuat kemunculan sulung di Vietnam Motor Show pada Oktober tahun lalu.

Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Oleh itu Mitsubishi Xforce ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V (4,385 mm x 1,790 mm x 1,590 mm) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm X 1,825 mm x 1,620 mm).

Namun ia hanya dijana oleh unit rangkaian kuasa seperti model SUV segmen-B aras mula seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V kerana hadir dengan enjin NA 1.5 liter. Enjin yang dimaksudkan adalah unit 4A91 1.5L DOHC Mivec yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, menghasilkan kuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm.

Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Kuasa dari enjin dihantar terus ke kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan, tanpa pilihan sistem pacuan semua roda. Walau bagaimanapun, Mitsubishi menegaskan bahawa Xforce mempunyai kemampuan pemanduan pada laluan lasak yang baik, termasuk ketika waktu banjir yang sinonim di Asia Tenggara.

Xforce hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya memacu dua roda. Teknologi ini menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik.

Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Mitsubishi turut menyatakan bahawa mod Wet merupakan mod yang baru diperkenalkan buat pertama kali menerusi Xforce ini, dan ia akan memberikan prestasi mengambil selekoh dan kestabilan yang lebih baik pada jalan basah ketika hujan, dan mengekalkan kawalan yang baik ketika meredah banjir.

Untuk suspensi, Xforce diberikan sudut caster hadapan yang lebih besar bagi memberikan kestabilan kelajuan tinggi dan respon stereng lebih baik, serta menggunakan set bushing suspensi belakang yang dipertingkat. Saiz silinder penyerap hentak juga direka besar bagi memberikan kestabilan pada roda stereng serta keselesaan pemanduan walaupun dipandu pada permukaan tidak rata dan lasak, khususnya untuk jalan seperti di rantau ASEAN.

Mitsubishi turut memberikan set roda bersaiz besar terdiri dari rim berdiameter 18-inci, yang menghasilkan jarak kelegaan 222 mm yang sama seperti Xpander, dan didakwa terbaik dalam kelasnya. Sebagai perbandingan, Honda HR-V hanya menampilkan jarak kelegaan tanah setinggi 196 mm, manakala Corolla Cross pula hanya 161 mm.

Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Tetapan suspensi dan juga set roda yang besar ini juga membolehkan Xforce mendapat sudut approach dan sudut departure antara yang terbaik dalam kelasnnya, masing-masing 21 dan 30.5 darjah. Ini membolehkan Xforce ‘memanjat’ laluan dengan sudut-sudut yang curam, dan ia juga mudah dikendalikan pada laluan sempit dengan radius pusingan minimum 5.2 meter, yang juga paling kecil dalam kelasnya.

Untuk kotak gear CVT yang dibekalkan, Mitsubishi menyatakan ia akan memberikan kelajuan maya seperti transmisi automatik konvensional jika pemandu mengerah pedal pendikit sepenuhnya. Namun sekiranya pedal pendikit ditekan secara lembut, kotak gear CVT ini “akan memaksimakan pretasi enjin bagi mencapai penggunaan bahan api lebih efisien serta pemanduan yang senyap unik untuk CVT”, dakwa Mitsubishi.

Mitsubishi juga menyatakan dengan respon kotak gear CVT pada Xforce ini juga membolehkan ia memanjat bukit tanpa memerah pedal pendikit, dan ia juga memberikan engine braking yang lebih baik ketika menurun bukit, memudahkan lagi tugas pemandu tanpa perlu kerap menekan pedal brek.

Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Sesuai dengan kebolehannya, Mitsubishi memberikan “rupa elegan sebuah SUV yang bergaya dalam masa yang sama kelihatan lasak” pada Xforce ini, dengan konsep digelar “rakan baik untuk kehidupan yang mengujakan.”

“SUV kompak ini dibangunkan sebagai jawapan kepada keperluan pemandu di rantau ASEAN dan telah ditala berulang kali di persekitaran jalan raya rantau berkenaan. Kami berharap Xforce serba baharu ini akan menjadi rakan terbaik untuk apa jua pengembaraan yang mahu dimulakan oleh pemandu, memberikan mereka kuasa tambahan untuk bergerak selangkah lebih jauh dan alami pengalaman baharu,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

Seperti juga Xpander yang menerima banyak rekaan sama dengan model konsepnya iaitu XM Concept, rekaan luaran pada Xforce ini juga hampir keseluruhannya diispirasikan dari XFC Concept. Pada bahagian muka Dynamic Shield Xforce ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang agak seiras dengan XFC.

Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

Pada bahagian kabin, Xforce menerima pada pemuka yang direka dengan elemen mendatar. Mitsubishi menyatakan bahawa rekaan ini memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.

Paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci pula direka seakan bersatu dengan panel pintu menerusi kemasan fabrik melange, menghasilkan rasa yang lebih luas serta memberikan “rasa seperti duduk di ruang tamu”, dakwa Mitsubishi.

Untuk sistem infotainmen, Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.

Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.

Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, juga pertama buat Mitsubishi. Sistem ini menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.

Menurut Mitsubishi, bagi memaksimakan prestasi pembesar suara, pelbagai perkara diambil kira pada kereta, termasuk kadar volum dan kualiti bunyi ditala secara automatik berdasarkan kelajuan kereta. Pemandu turut boleh memilih empat jenis bunyi yang ditawarkan pada sistem bunyi Yamaha ini termasuk Lively, Signature, Powerful dan Relaxing.

Tempat duduk hadapan Xforce ini menampilkan bahagian bahu yang lebar bagi memberikan lebih keselesaan, dan ia juga direka bagi mengelakkan pergerakan sisi pada badan ketika situasi seperti menukar lorong dan jalan yang tidak rata, “membolehkan penumpang duduk dengan selesa walaupun dalam kesesakan jalan raya”, kata Mitsubishi.

Manakala untuk tempat duduk belakang, ia menawarkan ruang kaki yang luas serta menawarkan keselesaan walaupun tiga orang penumpang duduk di bahagian tersebut. Tempat duduk belakang ini juga boleh dilaras dalam lapan cara, membolehkan penumpang melaras kedudukan yang ideal dan juga bagi memaksimakan kapasiti ruang kargo.

Pelbagai kemudahan lain turut dilengkapkan untuk keselesaan penumpang antaranya 15 pemegang botol minuman, penyejuk minuman pada konsol lantai, pengecas telefon pintar tanpa wayar pada konsol tengah, soket pengecas dan juga ruang letak telefon pintar untuk setiap baris tempat duduk.

Mitsubishi mendakwa Xforce menawarkan ruang lantai pada but belakang dengan keluasan antara yang terbaik dalam kelasnya. Dengan lantai yang boleh dilaras ketinggiannya, serta tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40/20/40, ruang kargo belakang SUV ini sangat versatil dan masih memberikan keselesaan pada penumpang belakang walaupun sedang membawa muatan kargo yang banyak. Namun kapasiti sebenar but belakang Xforce ini masih belum didedahkan.

Tidak seperti Xpander yang hanya menawarkan dua beg-udara, Xforce ini pula ditawarkan dengan enam-beg udara. Ia juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCM), lampu Tinggi Automatik (AHB), Pemberitahu Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN), Amaran Titik Buta bersama Bantuan Tukar Lorong, sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan lain-lain.

Mitsubishi Xforce ini akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia bakal mula dijual di negara berkenaan tidak lama lagi, dan turut akan dilancarkan di negara Asia Tenggara serta diikuti pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan juga Afrika.

Tak mustahil Xforce juga akan dilancarkan di Malaysia, dan mungkin akan dipasang secara pemasangan tempatan memandangkan Xpander juga diproduksi di sini menerusi kilang Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd yang terletak di Pekan, Pahang.

Apa pendapat anda? Sekiranya Mitsubishi Xforce ini dilancarkan di Malaysia kelak, adakah ia boleh memberikan cabaran kepada model-model ‘panas’ di pasaran tempatan seperti HR-V, Corolla Cross dan Proton X50?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required