smart #1 kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran RM200k-RM250k, ada varian prestasi Brabus

smart #1 kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran RM200k-RM250k, ada varian prestasi Brabus

Akhirnya, EV pertama dari jenama smart yang dihasilkan bersama Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 kini sudah boleh ditempah untuk pasaran Malaysia. Seperti yang diketahui sebelum ini, jenama smart masuk semula ke pasaran tempatan dengan pembentukan smart Malaysia yang diuruskan oleh anak syarikat Proton, Proton New Energy Technology (Pro-Net).

Pengumuman pembukaan tempahan ini dibuat sempena pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang dipertingkatkan antara smart & Proton yang berlangsung di Nanning, China, hari ini. Acara tersebut dihadiri oleh CEO Proton Dr Li Chunrong, naib CEO Proton, Roslan Abdullah dan juga delegasi Malaysia termasuk wakil dari MITI dan MDEC.

Ini juga bermaksud Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang menawarkan model-model EV terbaharu keluaran smart bermula dengan smart #1.

“Kami berbangga berada di barisan hadapan untuk ketibaan jenama smart di rantau ASEAN, setelah smart Automobile mengumumkan majlis penyampaian kereta pertama untuk smart #1 di Malaysia. Pencapaian ini bermakna smart Malaysia kini bersedia untuk bermula dengan penghantaran kenderaan kepada pelanggan pada suku keempat tahun 2023 dengan 9 pengedar kami yang sudah bersiap sedia untuk menyambut mereka,” kata CEO smart Malaysia, Zhang Qiang.

“Kami juga teruja untuk mengumumkan program manfaat #1 Early Bird, yang akan memberi ganjaran kepada pelanggan yang merebut peluang ini untuk menjadi antara pemilik pertama smart #1. Sedang kami membuka jalan bagi pasaran EV di rantau ini, kami ingin menjemput anda semua bersama-sama menyertai kami dalam keseronokan perjalanan ke arah mobiliti pintar dan mampan,” tambahnya lagi.

Tiga varian smart #1 akan terus diperkenalkan di Malaysia ketika pelancarannya nanti iaitu versi Pro, Premium dan juga versi prestasi smart #1 Brabus. Harga untuk ketiga-tiga varian ini masih belum dimuktamadkan, namun smart Malaysia sudahpun memberikan harga anggaran atas jalan tanpa insuran bermula RM200,000 untuk varian paling asas hingga RM250k untuk versi paling mahal.

smart juga mengesahkan beberapa perincian yang akan ditawarkan pada varian Pro, Premium dan Brabus. Bagi smart #1 Pro, ia disahkan akan menerima rim aloi 19-inci yang direka dengan daya seretan rendah, Bumbung Halo Panoramik serta dibekalkan dengan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 49 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 315 km dalam kitaran WLTP.

Ia datang dengan pilihan warna badan Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green, bersama upholsteri dalaman dengan tema After Dark.

Manakala smart #1 Premium pula ditingkat taraf dengan lampu hadapan CyberSparksLED + Matrix, Gril Hadapan Bercahaya, dan juga Bateri lithium nikel mangan kobalt oksida (NMC) 66kWj yang memberikan jarak gera sejauh 440 km dalam kitaran WLTP. Model ini akan digerakkan dengan hanya satu motor elektrik berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork maksima 343 Nm yang memacu gandar belakang.

smart #1 kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran RM200k-RM250k, ada varian prestasi Brabus

Selain lima warna asal yang ditawarkan pada model Pro, smart #1 Premium ditawarkan dengan warna badan Atom Grey – Matte dan Lumen Yellow. Manakala dalam kabin, varian ini menerima tema hitam putih Dark Matter. Pembeli boleh memilih opsyen bumbung berwarna Eclipse Black Roof kecuali pilihan warna Atom Grey-Matte.

Bagi versi prestasi smart #1 Brabus pula, ia menerima dua motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, jarak gerak sejauh 400 km serta “menawarkan pengendalian dan cengkaman luar biasa” dakwa smart.

Versi dengan rupa lebih garang ini boleh dipilih dengan tujuh kombinasi warna badan berbeza. Sekiranya pembeli memilih warna bumbung Radiant Red, ia boleh digandingkan dengan warna badan Atom Grey–Matte, Meta Black dan Cyber Silver.

Manakala pembeli yang mahukan pilihan warna bunbung hitam, ia boleh digandingkan dengan warna badan Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Satu-satunya pilihan monotone untuk varian Brabus ini hanya ditawarkan untuk Atom Grey-Matte. Versi ini juga menerima perincian dalaman istimewa dari Brabus.

Tempahan untuk ketiga-tiga varian smart #1 ini boleh dibuat menerusi aplikasi pintar Hello (Google Play Store, Apple App Store, Huawei AppGallery) yang dikendalikan oleh smart Malaysia. Untuk memuktamadkan tempahan ini, anda perlu membuat bayaran tempahan sebanyak RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.

Istimewa untuk 501 pelanggan terawal yang menempah EV ini menerusi aplikasi Hello smart, smart Malaysia turut akan memberikan kredit pengecasan bernilai RM1,001 melalui aplikasi tersebut. Kredit pengecasan ini akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas smart #1 dihantar kepada mereka.

Ini akan membolehkan pemilik untuk “menikmati pengalaman pengecasan yang lancar melalui aplikasi dan ciri terkini yang mengintegrasikan lebih daripada 70% lokasi stesen pengecasan awam sedia ada,” kata smart Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

smart Malaysia turut mendakwa bahawa aplikasi Hello smart ini sebagai “aplikasi EV bersepadu pertama di Malaysia, direka untuk meningkatkan kemudahan dan memperkayakan gaya hidup keseluruhan pengguna, serta mengubah pengalaman pemilikan.”

smart #1 ini pernah di prebiu untuk media sebelum ini dan ia turut telah dipertontonkan pada acara EV Expo 2023 Julai lalu. Lebih perincian berkenaan smart #1 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

GALERI: smart #1 Pro

GALERI: smart #1 Premium

GALERI: smart #1 Brabus

GALERI: Brosur smart #1 pasaran Malaysia

GALERI: Brosur smart #1 Brabus

GALERI: smart #1 di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required