Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes pukul seorang penghantar makanan atau food rider di Jalan Langat-Klang telah pun diberkas.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, tangkapan dilakukan oleh pasukan D7 daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 6.30 petang semalam.
“Polis menangkap tiga suspek warga tempatan yang berumur antara 28 hingga 39 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta. Kesemua suspek didapati mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati suspek utama yang berumur 39 tahun positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.
Tambah beliau, permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dimohon di Mahkamah Majistret Klang. Malahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Selatan turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sejak semalam, video rakaman kes pukul ini telah viral di laman media sosial yang memaparkan seorang lelaki telah memukul dan merosakkan motosikal milik seorang warga tempatan berusia 21 tahun yang bekerja sebagai food rider gara-gara tidak puas hati selepas mangsa membunyikan hon pada keretanya.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua… Harap-harap suspek berkenaan dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya termasuk kes dadah!
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.