Nissan Malaysia baru sahaja menyiarkan iklan baharu untuk trak pikap Nissan Navara, yang menunjukkan kelebihan sistem bantuan pemanduan yang ada pada trak pikap berkenaan iaitu sistem amaran titik buta dan juga amaran ramalan pelanggaran.
Apa yang menarik, iklan ini dihasilkan dengan tema seakan filem The Fast & Furious dan turut menampilkan watak Dominic Toretto palsu. Ia bermula dengan babak dua buah kereta lama sedang berlumba – bukan dari jenis American Muscle, sebalik antara Datsun Fairlady 280Z dan juga Toyota Celica generasi pertama.
Kedua-dua kereta yang berlumba tersebut kemudiannya muncul dalam cermin sisi Nissan Navara yang dipandu oleh ‘Dom’ dan ia memberikan amaran berlampu dari sistem amaran titik buta. Dom dalam iklan ini nampaknya lebih matang dengan mengatakan “ish..bahaya ni” selepas menyaksikan aksi kedua-dua kereta yang sedang berlumba itu.
Selepas berjaya memotong sebuah lori, kedua-dua kereta tersebut kemudiannya berlanggar sesama sendiri. Dengan sistem amaran ramalan pelanggaran yang ada pada Navara, ia berjaya menghentikan trak pikap tersebut dengan brek kecemasan automatik, seterusnya mengelakkan satu lagi kemalangan dari terjadi.
Ketika lalu di tempat kejadian, Dom yang lebih waras ini sempat memberikan nasihat “jangan selalu tonton wayang” kepada kedua-dua pemandu yang berlumba tersebut.
Sekali tengok, memang lucu iklan ni kan? Namun ia mempunyai mesej yang cukup baik tentang keselamatan jalan raya dan dalam masa yang sama dapat menunjukkan kelebihan sistem keselamtan yang ada pada Navara!
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.