Ada makluman buat pengguna KTM Komuter, jika anda terlepas pandang perkara ini. Untuk pengetahuan anda, kad Komuter Link kini tidak lagi diterima kerana sistem pembelian tiket sedang dalam proses penambahbaikan. Jadi buat masa ini, anda perlu menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS) untuk pembelian tiket dan menggunakan telefon bimbit anda untuk sentuh (tap) masuk/keluar.
Jika anda masih mempunyai baki nilai di dalam kad Komuter Link, anda boleh memindahkannya ke aplikasi KITS. Pertama, anda perlu memuat turun dan mendaftar akaun aplikasi berkenaan. Kemudian pergi ke kaunter Komuter Link di Tingkat 2, KL Sentral untuk urusan selanjutnya. Jangan lupa bawa sekali MyKad anda.
Waktu operasi kaunter Komuter Link adalah pada setiap Isnin hingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari, dan 2 petang hingga 5 petang. Untuk Jumaat pula, ia bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari, dan 2.45 petang hingga 5 petang.
Sama juga untuk pengguna kad konsesi Komuter Link. Di mana kad fizikal terbabit tidak lagi boleh digunakan dan anda perlu mendaftar KITS untuk terus menikmati kadar diskaun. Bagi penumpang warga emas dan OKU boleh terus ke stesen kaunter KTM Komuter untuk mendapatkan bantuan.
Begitu juga dengan kad fizikal MyRailLife yang tidak lagi boleh digunakan dan pengguna perlu menggunakan KITS. Pas MyRailLife yang dilancarkan pada Februari lalu sebagai pas perjalanan tanpa had diberikan secara percuma untuk pelajar dan golongan OKU.
Walau bagaimana pun, kad Touch ‘n Go boleh digunakan di pintu automatik baharu di stesen KTM Komuter di Lembah Klang dan KTM Komuter Utara sejak 2 Oktober lalu. Hanya sentuh kad TnG anda dan tunggu bunyi ‘beep’ sebelum memasuki pintu berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.