Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengeluarkan kenyataan bahawa berita mengenai keretakan pada Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Pulau Pinang adalah palsu.
Menurut LLM, hasil siasatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mendapati kejadian berkenaan tidak berlaku di mana-mana struktur JPP dan JSAHMS.
“Keretakan tersebut tidak berlaku di JPP dan JSAHMS. Video yang telah lama tular tersebut tidak berlaku di Malaysia. Pihak JKSB juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu tersebut.
“KKR dan LLM menasihatkan semua pihak supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan salah faham dan kebimbangan rakyat Malaysia terutamanya pengguna JPP dan JSAHMS,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh LLM.
Semalam, Kerajaan negeri Pulau Pinang turut menafikan dakwaan berita tersebut. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata pihaknya membuat semakan bersama JKSB dan mendapati insiden keretakan jambatan seperti ditularkan berlaku di luar negara pada 2014.
Beliau turut berkata, pihaknya berharap video tersebut tidak lagi ditularkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat umum.
Kelmarin, video tular yang memaparkan sebuah jambatan didakwa JSAHMS yang dikatakan mengalami keretakan itu telah disebarkan bersama mesej memberi amaran kepada pengguna supaya berhati-hati.
Sekali lagi, tolong jangan kongsi berita atau sebarang maklumat yang tidak sahih. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) acapkali memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.