EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan bahawa kilang penghasilan tempat duduk baharu miliknya di Tanjung Malim, Perak sudahpun beroperasi secara rasmi. Kilang berkenaan akan membekalkan tempat duduk kenderaan untuk jenama automotif nasional iaitu Proton.
Pelancaran kilang tersebut disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dan CEO Proton Dr Li Chunrong. Kesemua tempat duduk yang dihasilkan kilang ini bukan hanya akan dibekalkan untuk model-model keluaran Proton yang dijual di pasaran tempatan, malah untuk yang dieksport ke negara-negara ASEAN yang lain, dakwa EPMB.
Kilang berkenaan dibangunkan dengan pelaburan lebih daripada RM30 juta, terletak hanya 2.5 kilometer dari kilang Proton di Tanjung Malim. Kawasan tersebut selepas ini turut akan dijadikan hab global untuk pengeluaran kenderaan
tenaga baharu (NEV) yang sedang dibangunkan oleh dua pemegang saham utama Proton iaitu DRB- HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) menerusi projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
EPMB menyatakan kilang produksi baharu ini merupakan kilang pertamanya untuk tujuan pengeluaran tempat duduk kereta, dan mempunyai kapasiti awal untuk mengeluarkan 150,000 set tempat duduk kereta setiap tahun bagi memenuhi keperluan Proton untuk model-model akan datang.
Ia adalah salah satu kerjasama pemindahan teknologi dalam ekosistem Proton yang melibatkan perkongsian teknikal antara EPMB dan pengeluar alat ganti kenderaan China Zhejiang Jujin Automobile & Motor-cycle Accessories Co., Ltd., yang kini membekalkan tempat duduk kereta kepada Geely.
“Pembukaan kilang ini adalah langkah kritikal dalam kerjasama EPMB dengan Proton, yang telah berlangsung hampir empat dekad. Ini adalah kali pertama EPMB melibatkan diri dalam pengeluaran dan pemasangan tempat duduk, dan kami berasa berbesar hati kerana Proton memberi kami peluang ini,” kata CEO Kumpulang EPMB, Ahmad Razlan Mohamed.
“Kami komited sepenuhnya kepada kejayaan Proton dalam mencapai sasaran mereka, serta pelan hala tuju Proton di pasaran NEV. Bagi EPMB pula, usaha ini akan membolehkan kami mempelbagaikan perniagaan kami daripada pengeluaran produk logam dan plastik, dan membuka aliran perniagaan baru dengan potensi pertumbuhan yang besar,” tambahnya lagi.
EPMB merupakan sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sebelum ini sudahpun membekalkan pelbagai komponen bukan sahaja untuk Proton dan Perodua, malah untuk pelbagai jenama automotif lain yang menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) di sini. Baru-baru ini EPMB turut mengumumkan projek pembangunan kilang baharunya di Pegoh, Melaka yang dibina untuk memasang kenderaan-kenderaan dari jenama BAIC dan Great Wall Motor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.