Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima sebanyak 3,750 aduan melalui aplikasi MYJalan yang direkodkan sejak 1 Ogos hingga 30 Oktober lalu. Aduan berkenaan berkaitan masalah jalan berlubang, kerosakan papan tanda dan perabot jalan.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, daripada jumlah keseluruhan aduan itu, hanya 26.77% atau 1,004 aduan membabitkan jalan kendalian agensi KKR, manakala baki 73.23% atau 2,749 aduan lagi membabitkan jalan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Daripada 1,004 aduan membabitkan jalan seliaan agensi KKR, 789 aduan diselesaikan, manakala baki 215 aduan masih dalam proses tindakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.
Dalam masa yang sama, tambahnya, KKR akan terus mempergiatkan kempen MYJalan yang dibangunkan berteraskan prinsip “No Wrong Door Policy” dan “Action Speaks Louder Than Words”.
Untuk hal lain, beliau turut berkata, KKR akan melaksanakan pemasangan Smart Traffic Light yang dilengkapi dengan kamera pintar di persimpangan jalan terpilih di seluruh negara terutamanya kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.