Honda Prelude generasi baharu adalah model hibrid global, RHD dan LHD, coupe 2-pintu 4-tempat duduk

Honda Prelude generasi baharu adalah model hibrid global, RHD dan LHD, coupe 2-pintu 4-tempat duduk

Model konsep Honda Prelude yang muncul di Japan Mobility Show 2023 bulan lalu disahkan bakal direalisasikan dalam bentuk produksi pada masa akan datang. Menurut laporan dari portal automotif Australia Carsguide, Prelude generasi baharu tersebut akan dihasilkan sebagai model global dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan kanan, serta bakal dilancarkan pada 2025.

“Ini merupakan prototaip dan kami masih lagi membangunkannya, jadi seperti yang presiden [Toshihiro] Mibe katakan, walaupun masa yang tepat tidak dapat dikongsi ketika ini, kami sasarkan untuk menawarkannya dalam pasaran sekitar pertengahan-2020’an,” kata ketua jurutera projek besar Honda Tomoyuki Yamagami, yang juga merupakan ketua pembangunan Honda Civic generasi ke-11.

“Ya, ia akan diposisikan sebagai model global, jadi kami akan hasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri dan kanan,” tambahnya lagi. Buat masa sekarang Honda masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal berkenaan Prelude ini, namun ia sudah disahkan sebagai sebuah model hibrid, bukan janaan elektrik (EV) sepenuhnya.

Honda Prelude generasi baharu adalah model hibrid global, RHD dan LHD, coupe 2-pintu 4-tempat duduk

Yamagami turut menjelaskan bahawa Prelude ini bukanlah model yang fokus terhadap prestasi di litar seperti Honda Civic Type R mahupun Acura Integra Type S. “Ia bukanlah kereta yang paling sporty, paling lincah untuk di bawa ke litar, jadi ini satu perkara. Satu lagi ia bakal menjadi ‘prelude’ (pemula) bagi kenderaan elektrik yang akan dilancarkan oleh Honda,” katanya.

“Jadi inilah sebabnya, kerana ia akan menjadi salah satu model sedemikian yang terawal, kami rasa nama Prelude adalah sangat sesuai untuk model ini. Kami akan membangunkan model empat tempat duduk, jadi anda juga akan dapat lihat tempat duduk baris kedua turut disediakan,” jelas Yamagami lagi.

Dengan perincian yang didedahkan oleh Yamagami ini, tak mustahil Prelude turut dihasilkan dengan platform yang sama dengan Civic generasi ke-11. Ini bukan perkara yang mustahil kerana Acura Integra dan Integra Type S pasaran Amerika Syarikat turut menggunakan platform dan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Civic Si dan Civic Type R.

Civic turut mempunyai varian hibrid elektrik e:HEV yang menghasilkan kuasa lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada model biasa. Ia menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

Enjin petrol tersebut tidak memacu terus roda, sebaliknya dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm.

Namun ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol menerusi transmisi E-CVT. Jadi dengan unit rangkaian kuasa hibrid hampir sama seperti EV sebenar yang agak berkuasa, serta digandingkan dengan bentuk badan sporty dua pintu, Prelude mungkin diletakkan sebagai model seperti Honda CR-Z sebelum ini.

Buat masa sekarang Civic di pasaran Amerika Syarikat tidak lagi ditawarkan dalam bentuk badan coupe dua pintu seperti model generasi kelima hingga ke-10, meninggalkan satu lompong dalam pilihan model-model yang ditawarkan oleh Honda. Dan dengan disahkan ia akan dijual dipasaran global, mungkin Malaysia turut akan menerima Honda Prelude yang dilahirkan semula ini?

GALERI: Honda Prelude Concept di Japan Mobility Show 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required