Perodua siar kenyataan berkenaan ketidakaturan prosedur Daihatsu – buat penilaian, perbincangan

Perodua siar kenyataan berkenaan ketidakaturan prosedur Daihatsu – buat penilaian, perbincangan

Awal hari ini, Daihatsu membuat pengumuman bahawa mereka kini menangguhkan penghantaran untuk semua kenderaan yang dijual, termasuk model yang dikeluarkan di Jepun dan juga pasaran luar. Ia merupakan susulan selepas pembuat kereta itu menyerahkan laporan oleh panel bebas kepada kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun serta kementerian ekonomi, perdagangan dan industri (METI) Jepun.

Panel bebas berkenaan telah menyiasat skandal berhubung penipuan ujian keselamatan oleh Daihatsu, yang didedahkan pada April lalu. Ketika itu, Daihatsu mengakui “perbuatan salah” yang dilakukan khususnya berkenaan ujian keselamatan kemalangan yang dibuat untuk permohonan kelulusan peraturan untuk empat model. Lebih 88,000 unit terjejas, dengan titik fokus ialah kemasan pintu yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dalam ujian impak pelanggaran sisi.

Dalam kenyataan akhbar rasmi (diterjemahkan daripada bahasa Jepun), syarikat itu berkata, “hasil daripada penyiasatan, sebagai tambahan kepada penipuan kemasan pintu pada bulan April dan penipuan ujian perlanggaran sisi tiang pada bulan Mei, didapati terdapat 174 penyelewengan dalam 25 item ujian.”

Perodua siar kenyataan berkenaan ketidakaturan prosedur Daihatsu – buat penilaian, perbincangan

Syarikat itu mengesahkan terdapat 64 model dan tiga enjin terjejas, termasuk yang sedang dalam pengeluaran atau pembangunan, serta yang telah dihentikan. Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara OEM kepada Toyota, Mazda dan Subaru.

Turut termasuk dalam senarai yang disiarkan dalam kenyataan tersebut adalah beberapa model Perodua seperti Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza. Bagi model Toyota yang dipasarkan di Malaysia pula ia termasuk Rush, Yaris, Vios dan Veloz.

Sedar akan perkara ini, Perodua pula mengeluarkan satu kenyataan yang turut memetik kata-kata daripada presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkenaan perkara ini. Ia adalah seperti berikut:

Merujuk kepada pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh “ketidakaturan prosedur”.

Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklumbalas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai “ketidakaturan prosedur” yang dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM)”, yang diumumkan awal pagi ini.

Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: “Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.

Kami sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluaran kami.

Pada 28 April 2023, DMC telah mengumumkan berlakunya “ketidakaturan prosedur” semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.

Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat.

Secara dasarnya, Perodua menyatakan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan. Syarikat itu sedang melakukan penilaian terperinci berkenaan perkara ini dan sedang berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia tentang kesannya. Hasil daripada perbincangan tersebut akan diberitahu kelak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required