Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

Biasa kita dengar tentang situasi seperti ini: “Ada penunggang motosikal langgar kereta saya dan terus lari. Saya ada rakaman semuanya, patutkan saya buat laporan polis?” Dan jawapan yang kerap juga didengar: “Tak payahlah. Buat laporan pun tak ada guna, polis tak akan ambil tindakan.”

Kemalangan atau perlanggaran antara kereta dan motosikal selalu terjadi. Dan dalam keadaan ini, jika berkaitan tuntutan insurans sesudahnya, situasi lebih janggal lagi yang menanti — adalah hampir mustahil untuk membuat tuntutan tersebut daripada insurans penunggang motosikal tersebut. Dalam beberapa kes, selepas laporan dibuat, syarikat insurans pula tidak bersungguh untuk meneruskan tuntutan berkenaan.

Ini meletakkan pemandu kereta yang keretanya mungkin mengalami kerosakan itu rugi dari segi No Claims Discount (NCD) insuransnya sendiri. Melihat kepada kos gantian komponen-komponen bagi kereta moden ketika ini — misalnya, pernah tahu harga untuk gantikan cermin sisi sebuah kereta baru Proton kini? — kebanyakan pemandu mungkin tidak akan menggunakan duit sendiri untuk menggantikannya.

Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

Mengapa keadaannya seperti ini? Untuk tahu lebih lanjut, kami bertanyakan kepada pemain industri insurans dan beberapa bengkel yang arif perihal tuntutan insurans ini bagi kedua-dua kenderaan dua dan empat roda, serta bercakap dengan wakil dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM.

“Dalam situasi kemalangan seperti ini, polis hanya menentukan punca dan tanggungjawab serta kerosakan yang terlibat. Kami tidak menentukan siapa yang memfailkan tuntutan insurans terhada siapa, dan bukan kami yang tentukan pampasan yang terlibat. Itu urusan syarikat insurans dan mahkamah,” ujar wakil JSPT tersebut.

“Namun, jika kemalangan itu melibatkan kecederaan atau kematian, maka kes berkenaan akan dilayan dengan lebih serius dan kerja-kerja siasatan akan lebih menyeluruh,” tambahnya. “Tentang kenapa syarikat insurans tidak mengejar tuntutan dari pihak penunggang motosikal, itu perlu ditanyakan kepada mereka,” jelasnya lagi.

Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

Berhubung pula dengan individu dari industri insurans yang meminta identitinya tidak didedahkan, ini jawapannya: “Bukannya kami tidak mahu membuat tuntutan, tetapi prosesnya itu hampir mustahil.” Menyebut beberapa contoh kes yang pernah dikendalikan, beliau memaklumkan bahawa agak normal sebenarnya untuk syarikat insurans gagal menjejaki orang atau alamat yang diberikan untuk melakukan tuntutan itu.

“Selain itu, ada masalah seperti penunggang yang tiada lesen atau cukai jalan, yang secara automatik menjadikan polisi insurans penunggang terbatal secara automatik, atau mereka bahkan memang tak ada insurans sama sekali,” jelasnya. Ditanya apa yang boleh dilakukan oleh pihak yang masih ingin menuntut, beliau menyatakan ada pilihan untuk memfailkan saman tuntutan, tetapi itu akan mengambil masa yang lama.

“Sudah tentu mereka boleh memfailkan tuntutan, tetapi itu bermaksud anda perlu mengeluarkan duit untuk peguam, dan kemudian meluangkan masa untuk ke mahkamah dan sebagainya,” jelasnya. “Kemudian akan ada masalah untuk mengesan mereka yang terlibat, dan memastikan mereka hadir ke mahkamah sebelum memperoleh keputusan penghakiman. Terakhir, ada juga masalah untuk mendapatkan semula wang anda.”

Langgar kereta vs. motosikal di M’sia — salah kereta? Kenapa tak boleh tuntut dari insurans motosikal?

Ini situasi sekiranya saman itu dibuat ke atas orang yang tidak berkemampuan secara kewangan. Dalam banyak kes, syarikat insurans akan menasihatkan pihak yang menuntut itu supaya membuat tuntutan terhadap polisi, walaupun dengan penalti untuk kehilangan NCD.

Ada sumber industri turut memaklumkan bahawa polis dan mahkamah akan lebih menyebelahi penunggang motosikal dalam kes kemalangan, disebabkan mereka datang dari segmen kenderaan yang dilihat “kekurangan” oleh masyarakat berbanding kereta. Ini tentulah hanya sentimen, dan tidak dapat disahkan secara tuntas, sebaliknya hanya sebagai tanggapan luaran, yang mungkin ada kebenarannya.

Dalam keadaan seperti yang diungkapkan ini, cara yang paling mudah untuk mendapatkan tuntutan insurans dalam kes perlanggaran melibatkan kereta dan motosikal adalah dengan menggunakan insurans pemandu kereta itu sendiri (dan kehilangan kelebihan NCD), dan bukannya dari pihak penunggang motosikal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Neoh Soon Hueng on Jan 22, 2024 at 8:21 am

    Thanks for bringing this up. Is there anything the community can do about it? We might need help from the Transport ministry to make changes to the law so that such hit and run doesn’t get out of hand. Besides, it’ll be a long process of educating the community & encourage them to go ahead and perform the claims as that’s what insurance coverage is meant to do.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required