PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

Jika kita sebut tentang jentera rali jalan raya Toyota, sudah tentu apa yang terpacul di minda adalah Toyota GR Yaris bukan? Projek GR Yaris ini hanya diketahui sekitar bulan April 2019 selepas Toyota dilihat menguji prototaip ujian menggunakan kerangka badan Yaris generasi ketiga, dan model produksi sebenar membuat kemunculan sulung pada Januari 2020 semasa berlangsungnya Tokyo Auto Salon tahun itu.

Namun sedarkah anda, sebelum GR Yaris kecoh diperkatakan, idea untuk penghasilan GR Corolla sebenarnya telah berlegar terlebih dahulu. Naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley telah menyebut ura-ura Toyota bakal membangunkan hot-hatch ini pada April 2018, iaitu hanya selepas sebulan Corolla generasi ke-12 dalam versi hatchback diperkenalkan buat kali pertama.

Ini kerana kerangka Corolla yang diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) tersebut begitu berpotensi untuk dihasilkan dalam versi prestasi tinggi kerana ia begitu tegar, menampilkan pusat graviti yang rendah, serta menggunakan sistem suspensi jenis double wishbone yang jitu pada bahagian belakang.

Perkara yang sama turut disebut beberapa eksekutif Toyota selepas itu sehinggalah pada Februari 2019, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei mengesahkan Corolla hatchback lebih berkuasa dengan lencana Gazoo Racing akan dibina dan ia akan disumbat dengan enjin 1.6 liter turbo digandingkan bersama sistem pacuan semua roda.

Ketika Kanei memberitahu perkara tersebut, dunia masih belum mengetahui apa-apa berkenaan enjin G16E-GTS yang akhirnya menjadi enjin produksi 1.6 liter tiga-silinder turbo paling berkuasa di dunia dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibangunkan oleh Toyota, sehingga kedua-dua gandingan itu didedahkan menerusi GR Yaris pada Januari 2020. Nampak tak? Toyota dah lama rancang, tapi kita yang lalai.

PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

Jadi untuk mengatakan GR Corolla ini adalah model khas yang dibuat untuk pasaran Amerika Syarikat kerana negara tersebut tidak menerima GR Yaris adalah tidak tepat. Ini kerana GR Corolla memang sudah dirancang dari awal untuk menjadi model global, dan ia sebenarnya menampilkan karekter dan juga keistimewaan yang berbeza dari GR Yaris walaupun menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama.

Malaysia adalah antara pasaran yang istimewa kerana kita sudahpun menerima GR Yaris pada akhir 2020, dan kemudian GR Corolla pula menyusul pada Februari 2023. Boleh dikatakan penulis juga antara yang bertuah kerana berpeluang menguji GR Yaris pada 2022, dan diberikan unit GR Corolla ini untuk diuji beberapa minggu yang lalu. Jadi apa beza GR Corolla dan GR Yaris? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui.

Kalau penulis susun kerusi depan kereta ini dan ajak anda bersembang, sudah banyak perkara yang boleh diborakkan dengan tangan turun naik hanya untuk topik bahagian luaran. Bonet depan misalnya, ia direka lebih kembung dari Corolla hatchback biasa bukan hanya untuk kosmetik, malah disebaliknya nampak ia berfungsi untuk membebaskan haba menerusi sepasang sirip yang diberikan.


Begitu juga dengan liang kemasukan udara yang besar diberikan pada gril bampar hadapan, bukan sahaja digunakan untuk menghimpun udara bagi dialirkan kepada unit radiator enjin, malah ia turut untuk menyejukkan unit intercooler bagi sistem turbo. Tidak lupa juga liang udara menegak pada sisi bampar, berfungsi untuk menyejukkan brek serta membantu dari segi aerodinamik.

Pipi GR Corolla yang lebih montel ini (fender ini adalah 20 mm lebih lebar dari Corolla biasa) bukan semata-mata untuk menampakkan ia lebih gagah, tetapi ia sebenarnya perlu dibuat bagi memuatkan tetapan suspensi dan juga trek roda yang lebih lebar bagi memberikan pengendalian lebih baik. Satu lagi liang udara diberikan pada bahagian belakang fender ini, berfungsi untuk membebaskan udara yang ‘dikaut’ menerusi liang pada bampar tadi.

Fender belakang pula adalah 30 mm lebih lebar dari Corolla Hatchback standard, namun ia menampilkan panel tambahan yang dilekat pada panel utama badan dan sebahagian pintu belakang. Pintu but belakang dan penutup bonet hadapan GR Corolla ini diperbuat dari bahan aluminium yang lebih ringan.

Corak forged carbon pada bumbung GR Corolla ini bukan sebab ia dibalut dengan pelekat badan ya tuan-tuan kerana bahagian tersebut benar-benar diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP). Bumbung yang lebih ringan ini bukan berfungsi untuk mengurangkan berat keseluruhannya semata-mata, ini kerana pengurangan berat pada bahagian paling tinggi dan paling jauh dari pusat graviti kereta ini sebenarnya dapat membantu bagi mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh laju.

Beralih ke kabin, bahagian ini yang akan membuatkan anda rasa GR Corolla ini lebih mahal dari GR Yaris. Berbanding saiz kabin GR Yaris yang lebih kurang saiz kabin Myvi, GR Corolla pula adalah hatchback segmen-C dengan saiz kabin yang lebih kurang sama seperti model Corolla sedan biasa.

Apabila anda masuk ke kabin ini ia terasa jauh lebih ‘lapang’ dari GR Yaris. Ia juga mempunyai pintu belakang berbanding Yaris yang hanya tampil dalam versi tiga pintu, jadi anda tidak mempunya masalah untuk membawa anak-anak, ahli keluarga lain mahupun kawan-kawan dengan kereta rali jalan raya ini.

PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

Dan walaupun ia mempunyai bekalan kuasa jauh lebih besar dari kereta sport sebenar GR86, masuk dan keluar dari kokpit pemandu GR Corolla ini masih lagi sangat mudah terutamanya untuk anda yang berbadan besar – seperti yang penulis katakan tadi, ia masih sebuah Corolla yang praktikal walaupun ada lencana GR di hadapan.

Untuk pemandu, anda dibekalkan dengan paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci. Perincian ini tidak diberikan pada GR Yaris sedia ada kerana ia hanya ditawarkan dengan paparan meter analog dengan skrin TFT MID kecil ditengah bersaiz 4.2-inci – tetapi untuk model facelift GR Yaris yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon tempoh hari, ia kini sudahpun menerima paparan instrumen digital penuh.

Jika anda seorang ‘kaki trackday‘, paparan instrumen digital ini sangat-sangat membantu dan anda tidak perlu menambah meter-meter aftermarket tambahan. Ini kerana paparan tersebut sudahpun memberikan bacaan-bacaan yang perlu dipantau ketika ia dilanyak semahunya seperti suhu cecair penyejuk enjin, suhu minyak pelincir dan tekanan minyak pelincir – semua bacaan ini diberikan dalam bentuk angka yang tepat dan bukan hanya grafik semata-mata.

Penunjuk posisi gear juga dipaparkan dengan jelas pada bahagian tengah skrin, dan sekiranya anda memilih mod Sport, saiz penunjuk tersebut akan menjadi lebih besar dan ia akan turut memberikan amaran kerlipan cahaya untuk memberitahu bila gear patut ditukar.

Nak tahu macam mana tahap agresif anda ketika memecut, membrek atau mengambil selekoh? Pilihan paparan meter daya G juga antara yang disediakan dalam paparan instrumen digital ini. Satu lagi yang istimewa pada paparan ini ialah anda boleh melihat sendiri kadar tork yang disalurkan pada setiap roda bagi sistem pacuan semua roda GR-Four yang dilengkapkan pada jentera rali jalan raya ini.

Tempat duduk bucket GR Corolla yang menerima balutan gandingan kulit dan ultrasued ini bukan sahaja cukup selesa memberikan sokongan belakang dan peha, malah ia juga dapat memeluk badan pemandu dan penumpang hadapan dengan cukup erat walaupun dihenyak oleh daya-G yang cukup kuat ketika mengambil selekoh dengan laju.

Tombol gear juga diletakkan pada posisi yang dekat dengan pemandu bagi membolehkan ia dicapai dengan mudah, manakala brek parkir elektrik yang dipadankan pada Corolla biasa digantikan dengan tuil brek manual untuk GR Corolla ini, bagi membolehkan pemandu membuat aksi hand brake turn sekiranya perlu.

Tiada masalah ergonomik, ruang storan atau pemegang cawan dan botol yang tidak cukup pada kabin GR Corolla, dan penulis merasakan aspek tersebut sudah cukup baik untuk sebuah kereta keluarga. Sistem Android Auto tanpa wayar juga berfungsi dengan baik dan ia terus disambung secara automatik sebaik sahaja enjin dihidupkan, dan turut mempunyai pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Cuma sedikit yang menyakitkan mata penulis adalah paparan kamera undur yang tidak begitu jelas, dan ketiadaan garisan penunjuk dinamik pada sistem tersebut menyebabkan penulis lebih selesa menggunakan cermin sisi ketika memarkir.

GR Corolla ini menampilkan ruang but hanya sebesar 213 liter. Agak kecil, namun ia sudah cukup untuk anda memuatkan beg pakaian sekiranya anda dan keluarga seramai dua dewasa dan dua kanak-kanak untuk bercuti selama tiga hari dua malam. Sama seperti hatchback lain, tempat duduk belakang juga masih boleh dilipat sekiranya anda mahu membawa kargo lebih besar.

Ruang ini menjadi kecil kerana pada bahagian bawah lantai but berkenaan terdapat bahagian untuk diletakkan bateri utama untuk kereta ini, sebagai salah satu cara bagi memberikan imbangan berat hadapan dan belakang lebih baik untuk GR Corolla itu. Namun sekiranya anda mempunyai barang kecil yang ingin disimpan dengan lebih selamat, juga terdapat sedikit ruang simpanan yang boleh digunakan pada bahagian bawah lantai ini. Tayar gantian? Maaf, tidak disediakan.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, anda akan dengar gema dari tiga tip ekzos di belakang, terutamanya ketika cold start – kelajuan pepura akan tinggi sedikit dari biasa agar enjin cepat mencapai suhu bekerja yang optimal dengan cepat. Anda juga tidak boleh terus melanyak enjin ini sebaik sahaja ia dihidupkan sebelum minyak pelincir belum mencapai suhu operasi, dan amaran ini akan terus terpampang pada paparan instrumen selagi suhu berkenaan tidak dicapai.

Untuk anda yang mungkin tak tahu lagi, GR Corolla hanya dihasilkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan dan sehingga kini masih belum ada varian automatik ditawarkan. Jadi buat masa sekarang, GR Corolla masih lagi sebuah model yang benar-benar kereta yang direka untuk dipandu, dan bukan untuk melaram semata-mata.

Namun jangan risau, pedal klac yang diberikan masih lagi sangat lembut ketika ditekan dan sangat mudah untuk dilepaskan, macam memandu Perodua Axia Rahmah. Ia juga telah dilengkapkan dengan short-shifter dari kilang, jadi gerakan tombol untuk menukar dari gear ke gear adalah sangat rapat, membolehkan anda menukar gear dengan cepat.

Rasa tukaran gear juga sangat mekanikal, menyebabkan anda ketagih untuk menukar gear, tetapi harus penulis nyatakan ia masih tidak boleh menandingi rasa mekanikal yang diberikan oleh Honda terhadap model-model manualnya, terutamanya model-model seperti Civic Type R dan sebagainya.

Ketika kereta mula bergerak, anda boleh dengar bunyi ekzos tidak lagi bergema. Tidak seperti GR Yaris yang menerima bunyi palsu yang keluar dari pembesar suara, GR Corolla menghasilkan hanya bunyi sebenar dari ekzos. Dan jujur saya katakan, bunyi enjin 1.6 liter tiga-silinder pada GR Corolla ini hampir sama dengan bunyi enjin K-Car 660 cc tiga-silinder turbo yang selalu disumbat pada Perodua Kancil dan Kelisa.

Ini bukan bermaksud bunyi tersebut tak sedap, enjin dengan jumlah omboh ganjil (seperti lima-silinder) biasanya memang akan memberikan deruan yang unik serta memberikan semangat untuk memandu. Dan jangan tak tahu, sistem ekzos tiga tip pada GR Corolla ini sebenarnya adalah antara aspek yang membuatkan ia lebih berkuasa dari GR Yaris.

GR Corolla ini menerima bekalan kuasa 304 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 370 Nm yang bermula seawal 3,000 rpm. Jadi dengan kuasa 43 PS lebih besar dari GR Yaris (261 PS/370 Nm untuk model pre-facelift), GR Corolla mampu mencatatkan pecutan 0-100 km/j 2 saat lebih pantas iaitu 5.3 saat (5.5 saat untuk GR Yaris) walaupun badannya adalah hampir 200 kg lebih berat.

PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

Perlukah enjin ini sentias perlu disuap dengan petrol RON97? Tidak. Menurut buku manual yang dibekalkan pada kereta ini, kuasa optimum bagi enjin berkenaan dapat dicapai sekiranya anda menggunakan sekurang-kurangnya petrol RON95. Dan sekiranya bekalan petrol RON95 juga tidak dapat dicari, enjin ini masih boleh beroperasi dengan petrol RON 91 namun perlu dipastikan bahan api tersebut bebas plumbum.

Dengan tork penuh 370 Nm dicapai hanya pada kadar putaran enjin serendah 3,000 rpm, enjin berkenaan seolah-olah sentiasa menghasut kaki kanan untuk menekan pedal minyak lebih agresif setiap kali ada peluang. Putaran enjin memang terasa ringan dan sentiasa berada dalam lengkok kuasa tak kira pada gear mana ia berada, membuatkan ia mencapai bacaan redline pada takometer yang begitu pantas dari gear 1 hingga gear 5.

Pada peringkat awal, anda mungkin rasakan enjin ini terlalu berkuasa untuk diletakkan dalam perut GR Corolla. Namun semakin penulis serasi dengannya, dapat rasakan bahawa ia agak mudah dikawal dan begitu seronok untuk digunakan. Tak mahir dengan teknik heel & toe untuk menurunkan gear manual secara agresif? Jangan bimbang kerana sistem i-MT pada kotak gear yang dibekalkan pada GR Corolla ini memberikan throttle blip automatik dengan kadar kejituan seperti pemandu profesional setiap kali anda perlu menurunkan gear.

Tidak seperti kebanyakkan kereta-kereta sport ‘dua alam’ (sesuai untuk membawa keluarga dan ke litar lumba) lain yang sudahpun menggunakan penyerap hentak adaptif di mana ia boleh ditala untuk keselesaan atau prestasi bergantung pada mod yang dipilih, GR Corolla nampaknya masih dibekalkan dengan penyerap hentak konvensional yang ditala dengan keseimbangan pemanduan di litar dan jalan raya.

Untuk pemanduan seharian, talaan suspensi GR Corolla ini masih lagi selesa dan mampu untuk menyerap kejutan dengan baik apabila tayar melalui permukaan jalan yang pecah atau berlubang. Cuma ketika melalui jalan raya dengan permukaan yang beralun, ada sedikit rasa ‘bergoncang’ seperti menggunakan penyerap hentak boleh laras.

Dengan trek roda dan juga tayar yang lebih lebar dari GR Yaris, kadar cengkaman GR Corolla ini agak menakjubkan. Penulis tidak berpeluang untuk menguji kereta ini di litar, dan dengan daya cengkaman dari tayar dan juga sistem pacuan semua roda, kemahiran dan refleks dari penulis sendiri belum cukup pantas untuk ‘menewaskan’ cengkaman tersebut dan membuatkan tayar berdecit ketika mengambil selekoh pada jalan raya biasa, lagi-lagi dalam mod Track di mana sistem GR Four akan memberikan kadar tork 50:50 antara gandar hadapan dan belakang. Memang melekat habis!

Untuk tetapan default, sistem pacuan semua roda GR Four ini akan memberikan agihan tork 30 peratus untuk roda hadapan dan 70 peratus pada roda belakang, walaupun pada asasnya enjin kereta ini diletak melintang sama seperti Corolla pacuan hadapan biasa. Ini memberikan pengendalian yang tajam pada GR Corolla tersebut tanpa rasa kemungkinan berlaku understeer.

PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

Sama seperti GR Yaris, sistem brek merupakan satu lagi perkara yang mengagumkan pada GR Corolla ini. Ia menerima cakera gergasi bersaiz 18-inci yang dilarik, digigit oleh angkup dengan empat omboh di hadapan. Manakala di belakang, ia juga menerima cakera bersaiz agak besar iaitu 16-inci, bersama angkup dua omboh di belakang. Sistem brek ini bukan hanya memberikan kuasa pemberhentian yang cepat, malah stereng dan badan kereta sentiasa berada dalam keadaan stabil walaupun anda membuat brek kecemasan pada kelajuan tinggi!

Sebagai kesimpulan, pada pendapat penulis sendiri GR Yaris mungkin lebih hardcore dan lebih lincah dalam laluan lebih sempit. Tetapi untuk jalan lebih lebar, GR Corolla dapat memberikan kelajuan untuk meredah selekoh yang lebih tinggi kerana saiznya yang lebih lebar dan jarak roda yang lebih jauh.

Dan, GR Corolla juga hadir dengan praktikaliti yang jauh lebih baik dari GR Yaris, serta hampir sama dengan kereta keluarga biasa yang boleh digunakan setiap hari. Anda boleh bawa GR Corolla ini bersama beg baju dan ahli keluarga ke Litar Sepang untuk sesi trackday, dan selepas itu boleh terus ke Pantai Port Dickson untuk sesi istirehat pula.

Tapi dengan kotak gear manual, tidak ke pemanduan dalam bandar menjadi sesuatu yang menyusahkan? Ini bergantung pada individu. Bagi penulis yang sememangnya memandu sebuah kereta manual setiap hari di Lembah Klang, aspek ini memang tidak menjadi sesuatu yang membebankan.

Toyota GR Corolla ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM355,000. Toyota tidak menetapkan model ini sebagai model edisi terhad seperti GR Yaris yang hanya dihasilkan sebanyak 25,000 unit seluruh dunia, jadi tiada sebarang had kuota dikenakan ke atas pasaran Malaysia. Setiap kali tempahan diterima, nama pelanggan terus akan berada dalam senarai menunggu sementara unit tersebut dibuat di fasiliti GR Factory di Jepun. Tak perlu berebut seperti GR Yaris.

Dengan harga yang hampir sama, anda boleh mendapatkan Volkswagen Golf R dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, namun tiada klac pedal kerana hanya datang dengan kotak gear DSG. Anda juga mungkin boleh memilih Honda Civic Type R FL5 yang dijual pada harga RM399,900 – juga hanya datang dalam versi manual enam-kelajuan, digandingkan dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 319 PS/420 Nm, tetapi hanya memacu roda hadapan.

Apa pun, ketiga-tiga model ini bukan hanya dibezakan oleh jumlah kuasa yang dihasilkan. Tetapi yang penting ketiga-tiganya mempunyai karekter dan latar belakang sejarah berbeza yang mungkin menjadi aspek utama mengapa ia menjadi pilihan pembelinya. Sebagai peminat sukan rali, penulis sendiri sudah jatuh cinta dengan GR Corolla selepas ia diperkenalkan, dan cinta tersebut nampaknya kini lebih mendalam selepas berpeluang memandu ujinya. Anda pula lebih suka yang mana?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • hari raya on Apr 06, 2024 at 8:50 am

    minta maaf saya tidak bagi bonus duit untuk paultan.org kerana saya gagal jual kereta toyotq dalam banyak company world,selamat hari raya 2024

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required