Perlukah kita tunggu ‘lampu biru’ pada paparan instrumen padam sebelum kereta boleh bergerak?

Perlukah kita tunggu ‘lampu biru’ pada paparan instrumen padam sebelum kereta boleh bergerak?

Semalam tular satu hantaran video oleh seorang pengguna TikTok bernama Honda Lady, menunjukkan dia menunggu ‘lampu biru’ pada paparan instrumen untuk padam terlebih dahulu, sebelum penghawa dingin boleh dihidupkan dan kereta baru boleh bergerak.

Pemilik video tersebut tidak menyatakan mengapa ia berbuat demikian, namun menerusi komen-komen yang dihantar oleh pengguna lain dapat dilihat ramai yang bersetuju dengan ‘amalan’ berkenaan dan mendakwa ia adalah untuk memanjangkan jangka hayat enjin tersebut dan mengelakkan dari kerosakan berlaku. Jadi betul ke dakwaan-dakwaan ini?

Bagi yang belum mengetahui, ‘lampu biru’ pada paparan instrumen berkenaan sebenarnya adalah petunjuk bahawa suhu operasi enjin masih belum mencapai tahap optimum. Lampu ini hanya diberikan pada kereta-kereta yang tidak mempunyai tolok/meter suhu penyejuk enjin (engine coolant tempreature gauge) pada paparan instrumen mereka, di mana biru menandakan ia belum sampai suhu operasi, tiada lampu menyala menandakan suhu sudah pada tahap optimum, dan lampu merah menyalakan menandakan enjin sudahpun mencapai suhu panas melampau (overheat).

Jadi amalan menunggu sehingga ‘lampu biru’ padam ini sebenarnya adalah sama dengan amalan memanaskan enjin pada kereta lama, khususnya yang menggunakan sistem karburator yang telah hampir pupus pada era 90’an. Untuk sistem karburator tersebut, dalam keadaan yang terlalu sejuk, ia tidak akan memberikan campuran udara-bahan api yang tepat pada enjin, seterusnya tidak akan memberikan prestasi yang optima ketika memandu.

@n.natashaaass

35C

♬ original sound – pipija

Pada era 80’an dan ke bawah, sistem karburator mempunyai satu injap khas yang dipanggil injap choke yang perlu ditarik secara manual oleh pemandu menerusi tuil yang terletak pada papan pemuka. Injap berkenaan akan memberikan nisbah campuran bahan api lebih ‘rich‘, seterusnya menaikkan kelajuan pepura (idling speed) enjin dan mempercepatkan suhu optima dicapai.

Manakala pada era 90’an, kebanyakkan kenderaan yang menggunakan karburator sudahpun dibekalkan dengan sistem auto-choke, di mana injap choke berkenaan akan berfungsi secara automatik berdasarkan suhu cecair penyejuk enjin (coolant).

Bagi sistem suntikan bahan api yang digunakan oleh kereta-kereta moden, ia adalah lebih canggih dimana nisbah campuran bahan api akan sentiasa berubah berdasarkan suhu sekeliling, dan ia boleh memberikan nisbah yang paling optima dalam apa jua keadaan sekalipun. Jadi untuk kereta moden yang menggunakan sistem ini, anda sebenarnya tidak lagi perlu memanaskan enjin sehingga ‘lampu biru’ tersebut padam terlebih dahulu sebelum boleh mula bergerak.

Jadi bagaimana pula dengan komponen-komponen logam dalam enjin? Bukankah ia tidak cukup ‘mengembang’ sekiranya beroperasi pada suhu yang belum mencapai tahap optima dan mungkin akan ‘terkejut’ sekiranya ia terus dipaksa bergerak dalam keadaan sejuk?

Perlukah kita tunggu ‘lampu biru’ pada paparan instrumen padam sebelum kereta boleh bergerak?

Jurutera-jurutera juga sebenarnya tidak terlepas pandang dalam aspek ini. Justeru, material yang digunakan enjin-enjin moden juga sebenarnya telah direka bagi membolehkan enjin beroperasi pada keadaan tersebut, dan tidak akan mendatangkan masalah sekiranya kereta terus bergerak selepas enjin dihidupkan tanpa dipanaskan terlebih dahulu.

Namun ini bukan bermakna sebaik sahaja enjin dihidupkan, anda boleh terus bergerak dengan melenjan enjin berkenaan semahunya. Adalah dinasihatkan kereta berkenaan dipandu dengan cermat sebelum lampu biru tersebut padam. Ini akan memberikan masa untuk minyak pelincir sampai ke setiap komponen yang perlu dilindungi, serta membolehkan tekanan hidraulik pada sistem transmisi automatik turut mencapai tahap optima untuk beroperasi.

Proses bergerak secara cermat sebelum ‘lampu biru’ ini padam juga sebenarnya akan lebih mempercepatkan enjin panas berbanding enjin dihidupkan tanpa bergerak.

Dah faham? Jadi selepas ini tak perlu lah anda berpeluh-peluh menahan panas dalam kereta semata-mata mahu mempercepatkan proses memanaskan enjin dengan tidak menghidupkan penghawa dingin, dan membuang masa menunggu ‘lampu biru’ padam sebelum bergerak. Kita dah berada dalam tahun 2024, jadi hidupkan enjin, hidupkan penghawa dingin, dan terus bergerak dengan perlahan terlebih dahulu, dan pandulah seperti biasa apa bila ‘lampu biru’ tersebut padam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required