Bagaimana dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pertengahan minggu hadapan? Adakah anda masih berharap dapat bergaya dengan kereta raya? Mungkin sudah terlambat untuk memandu kereta baharu pulang ke kampung halaman, tetapi tawaran Honda Malaysia (HM) ini masih lagi dibuka.
Bagi promosi bulan April ini, HM menawarkan diskaun sehingga RM30,000, dan anda boleh memilih sama ada kereta buatan tahun 2023 atau yang masih ‘hangat’ tahun 2024. Kedua-duanya diberikan diskaun, tetapi apa yang pasti kereta tahun 2023 dapat lebih banyak diskaun. Semuanya melibatkan model CKD, kecuali CR-V baharu.
Bagi stok buatan tahun 2023, HM memutuskan untuk tidak menawarkan Accord baharu memandangkan produksi CKD bagi sedan segmen-D itu telah ditamatkan, tetapi diskaun terbesar cecah RM30,000 diberikan untuk kumpulan unit terakhir. Manakala untuk Civic, diskaun sebanyak RM10,000 ditawarkan bagi keempat-empat varian. Untuk City Hybrid RS, diskaun yang sama ditawarkan iaitu cecah RM10k.
Jika anda mahukan stok kereta yang diproduksi pada tahun ini, diskaun sebanyak RM1,000 diberikan untuk kesemua varian City Hatchback dan juga WR-V. Manakala kesemua lima varian City sedan pula diberikan diskaun sebanyak RM3,000, dan RM2,000 bagi Civic. Hendak Civic yang lebih padu, varian 2.0L Hybrid RS menawarkan diskaun sebanyak RM3,500. Akhir sekali, HR-V Hybrid RS didatangkan dengan diskaun RM1,500.
Seperti yang dinyatakan, tiada insentif bagi CR-V generasi-keenam yang baru dilancarkan. Dan semua promosi ini untuk kereta yang didaftarkan bermula sekarang hingga 30 April ini. Raya kan sebulan, sempatlah nak beli mana-mana model Honda yang anda berkenaan untuk digayakan pada Hari Raya walau pun dah pertengahan atau hujung bulan Syawal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

