Team RX Racing dominasi pusingan pembukaan 5 Nation British Rally Cross Championship 2024!

Dua pusingan awal 5 Nation British Rally Cross Championship sudah pun berlangsung di litar Lydden Hill, United Kingdom dari 30 Mac hingga 1 April lalu, dan untuk kategori tertinggi iaitu Supercar kedua-dua pusingan berkenaan didominasi sepenuhnya oleh Team RX Racing dari Ireland!

Bagi pusingan pertama yang berlangsung pada hari Sabtu, ia dimenangi oleh Ollie O’Donovan yang memandu Proton Iriz RX Supercar, diikuti oleh pemandu kedua pasukan tersebut yang juga merupakan anaknya sendiri iaitu Patrick O’Donovan memandu Ford Fiesta RX Supercar.

Proton Iriz RX berkuasa 600 hp yang dipandu oleh Ollie mempamerkan rentak yang baik ketika sesi kelayakan, membolehkan ia bermula di baris hadapan ketika peringkat separuh akhir dan memenangi perlumbaan tersebut. Ollie sekali lagi bermula di baris hadapan pada pusingan akhir dan berjaya memimpin perlumbaan sehingga tamat selepas Patrick menghadapi masalah pada kotak gear.

Ini merupakan kemenangan pertama Ollie dengan memandu Proton Iriz berkenaan, dan juga yang pertama selepas enam tahun di mana kali terakhir juara British Rallycross Championship 2007 tersebut dinobatkan sebagai pemenang adalan pada musim 2018.

Dalam perlumbaan pusingan kedua pada Isnin, Ollie sekali lagi berjaya masuk ke pusingan separuh akhir dan bermula di petak hadapan, namun perlumbaannya berakhir selepas Proton Iriz RX berkenaan menghadapi masalah sistem elektrikal. Namun Team RX Racing masih dapat membawa pulang jumlah mata yang banyak selepas Patrick menjadi juara bagi perlumbaan kedua tersebut.

Pusingan ketiga dan keempat 5 Nation BRX ini akan berlangsung di Litar Mondello Park, Ireland bermula 25 hingga 26 Mei nanti.