Yamaha NVX sekali lagi diberikan pembaharuan warna dan tahun 2024 ini ia ditawarkan dalam warna Blue dan Bronze untuk versi Standard, dan Cyan Sky dan Premium Navy untuk versi ABS. Harganya masing-masing adalah RM9,998 dan RM11,698 tidak termasuk insurans.
Daripada empat warna ini, warna Premium Navy yang disediakan untuk versi ABS kelihatan lebih istimewa kerana rimnya menggunakan warna seakan keemasan manakala tempat duduk pula dibalut dengan fabrik berwarna coklat. Tiga warna lain masih menggunakan rim dan tempat duduk yang berwarna hitam.
Bahagian lain skuter ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA, menghasilkan 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit CVT tali sawat.
Versi standard dijual pada harga lebih murah kerana tidak dilengkapi dengan brek ABS, namun masih datang dengan panel instrumen digital LCD yang boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect di telefon bimbit, lampu LED depan dan belakang, serta tangki bahan api 5.5 liter. Kelebihan varian ABS selain sistem brek ABS one-channel adalah sistem start/stop, suspensi belakang dengan subtank serta sistem kunci pintar.
Kelengkapan lain antara dua varian NVX155 ini adalah sama, termasuk brek hadapan jenis cakera, brek belakang dram, soket pengecas USB, rim 14 inci depan dan belakang dengan tayar 110/80 dan 140/70, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.
Setiap pembelian akan didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.