Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan bahawa sebuah pusat 3S untuk jenama Nissan baharu telah dibuka di Cyberjaya dengan menggunakan konsep runcit baharu digelar sebagai Nissan Retail Concept (NRC-NEXT). Pusat keempat yang menggunakan konsep tersebut ini dioperasikan oleh Evo Mobiliti menerusi fasiliti yang bernilai RM1.5 juta, yang sudahpun beroperasi sejak Januari lalu.

“NRC bertujuan untuk menginovasikan pengedar Nissan dan menyampaikan standard perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan Nissan di seluruh dunia. Ia bertumpu pada mempamerkan nilai jenama Nissan sepanjang masa pelanggan berada di pusat flagship ini, sama ada untuk memandu uji model terkini atau menghantar kereta untuk servis biasa. Setiap titik sentuh kemudahan runcit yang mematuhi konsep NRC atau NRC-NEXT telah pun direka bentuk dan diperhalusi semula untuk menyampaikan keseronokan dan kepuasan kepada pelanggan,” kata ETCM dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Tiga lagi pusat NRC di Malaysia sudahpun beroperasi sebelum ini, termasuk pusat 3S Flagship Nissan di Petaling Jaya. Fasiliti baharu ini terletak di Jalan Autoville 2, Autoville Cyberjaya (hab yang direka untuk jualan automotif dan pusat servis kenderaan di bandar berkenaan).

Dengan keluasan 7,300 kaki persegi, fasiliti ini mampu mempamerkan lima kenderaan serentak di bilik pameran, mempunyai ruang khas penyerahan kereta baharu, lounge pelanggan dan juga dua ruang servis untuk menampung kemasukan 200 unit kereta sebulan.

Menurut ETCM lagi, pusat NRC Cyberjaya ini akan “mengisi jurang penting dalam pasaran kerana dapat memenuhi keperluan pelanggan baharu yang berpotensi dari Cyberjaya, Sepang dan Putrajaya dengan strategik”.

Syarikat itu juga menambah Evo Mobility mempunyai “pengalaman perniagaan dalam pengedaran bahan api yang kukuh dan teguh di kawasan selatan lebih daripada dua dekad”, dan ia kini berkembang untuk menerokai perniagaan dalam sektor automotif.

Pusat Nissan 3S Cyberjaya ini dibuka tujuh hari seminggu, bermula 9 pagi hingga 7 malam untuk bilik pameran, manakala pusat servis pula dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu.

Looking to sell your car? Sell it with Carro.