MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

Siri perlumbaan MSF Superturismo 2024 bakal masuk ke pusingan kedua pada hujung minggu ini. Dan apa yang menarik, pada pusingan kali ini ia akan dilangsungkan pada sebelah malam di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) untuk mengenang kembali asal-usul MSF yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Saturday Night Fever'(SNF), di mana kali terakhir ia dilangsungkan 10 tahun lalu!

Sesuai dengan tema ‘SNF Revival’ perlumbaan ini akan dilangsungkan pada 1 Jun 2024 iaitu pada hari Sabtu malam minggu ini. Ia bakal disertai lebih dari 200 pelumba yang bersaing dalam 10 kelas berbeza, dengan tumpuan diberikan kepada empat kelas utama iaitu Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super Production; dan Rennplatz Standard Production.

“Untuk pemandu dan penonton ini adalah satu pengalaman yang luar biasa untuk dapat berlumba selepas matahari terbenam, dan selepas aksi perlumbaan sengit Pusingan 1 pada bulan Mac, kami cukup pasti persaingan akan menjadi sama jika ia tidak lebih menarik selepas berehat selama dua bulan,” kata Prinsipal MSF Superturismo, Adian Yein Khalid.

“Pusingan 2 juga akan menyaksikan elemen baharu diperkenalkan iaitu hanya penggunaan Trek Selatan (2.609km) berbanding keseluruhan 5.543km jarak litar. Ia sememangnya resipi untuk perlumbaan yang lebih pantas dan sengit dari awal hingga akhir dan kelebihannya ialah penonton boleh menyaksikan keseluruhan perlumbaan berlangsung dari tempat duduk mereka di kawasan paddock grandstand,” tambah Adian lagi.

Untuk penonton yang datang, anda bukan sahaja akan menikmati pertarungan yang akan disajikan oleh pelumba yang bertanding, malah sejumlah besar kereta dan peralatan prestasi kenderaan turut akan dipamerkan, bersama barangan cenderahati yang bakal dijual di kawasan hospitaliti.

Dalam perlumbaan pusingan kedua ini, kelas Super Touring dijangka akan menampilkan saingan sengit antara Mohamed Hafez Kamarudin yang memandu Toyota GR Yaris dan juga Umar Abdullah yang memandu Honda Civic Type R FD2R. Hafez menang dalam pusingan pertama sebelum ini dengan menamatkan perlumbaan 53 saat di hadapan Umar. Manakala sebuah lagi Type R FD2 yang dipandu pasangan Wu Junyi Ken dan Russell Tan turut menjadi antara pesaing utama dalam kategori ini.

MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

Untuk Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup pula, tumpuan akan diberikan kepada Ng Teck Ming dari pasukan Rennplatz Racing Team dan juga Muhd Khairul Nizam Yaacob dari pasukan EXN-JR Speed Sucimuci. Khairul Nizam perlu berusaha lebih kuat untuk pusingan kedua ini untuk memintas kedudukan mata Ng Teck Ming kerana dia tewas dalam pusingan pertama dengan Ng mendahului di hadapan dengan kelebihan 32 saat.

Bagi kategori Super Production, walaupun ia disertai oleh pelbagai jentera produksi jalan raya yang diubahsuai seperti Proton Satria Neo, Toyota Vios, Proton Gen.2, Proton Iriz dan Perodua MyVi, ia seolah-olah dikuasai oleh segerombolan Honda Jazz/Fit.

Pada pusingan pertama podium bagi kategori ini dihuni sepenuhnya oleh tiga buah Honda Jazz/Fit dengan Jonathan Xie berada di hadapan, menewaskan Teo Hong Zhou 29 saat di belakang, manakala Nurul Husna Nasharuddin berada di tempat ketiga.

Honda Jazz/Fit GK5 juga menguasai kategori Rennplatz Standard Production. Dalam pusingan sebelum ini, kategori tersebut di menangi oleh Ng Chong Chin yang bersaing rapat dengan Aiman Asyraaf dan Hayden Haikal dari pasukan Piston Project di mana jarak yang membezakan kedua-dua GK5 ini hanyalah 3 saat.

Hafez Kamarudin turut bertanding dalam kelas ini memandu Fit RS GK5 pasukan Fawster 55Twelve, menghabiskan pusingan pertama di tempat ketiga. Jentera bukan Honda paling pantas dalam kategori ini buat masa sekarang adalah Suzuki Swift Sport yang dipandu Stewart Hine yang menduduki tempat keempat dalam pusingan pertama.

Teruja nak tonton perlumbaan? Tiket untuk akses ke paddock akan dijual di pintu masuk Litar Selatan SIC pada hari perlumbaan bermula 7 pagi hingga tengah malam dengan harga RM35, manakala bayaran parkir pula adalah RM10. Anda juga boleh menonton perlumbaan ini secara percuma menerusi grandstand utama Litar Antarabangsa Sepang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required