BMW Malaysia telah mengumumkan harga bagi sedan 520i generasi G60 yang dipertontonkan di Malaysia pada bulan lalu. Model pemasangan tempatan (CKD) 520i ditawarkan pada harga asas bermula RM332,800, tetapi jika memilih BMW Service & Repair Inclusive, dengan pakej waranti lima-tahun dan pakej servis pada RM26,900, harganya menjadi RM359,700 tanpa insurans.
Sebagai model asas bagi barisan BMW 5 Series G60, ia diberikan penjana kuasa hibrid ringkas, dengan menampilkan unit B48 2.8 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 208 hp dan tork 330 Nm, disepadukan dengan binaan 48-voltan bagi pemacu komponen elektrik. Pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan, dan membolehkan 520i ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 230 km/j.
Bentangan suspensi untuk versi enjin pembakaran 5 Series dan varian EV i5 adalah sama iaitu larasan double wishbone untuk suspensi hadapan dan five-link di belakang. 520i ini juga diberikan rim aloi aero 934 bicolour grey 19-inci dengan dibaluti tayar 245/45R19 untuk hadapan dan belakang.
Di dalamnya, kelengkapan yang diberikan untuk 520i antaranya roda stereng pelbagai-fungsi dua-jejari flat-bottomed, ciri BMW Curved Display dengan panel instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci, yang boleh diakses menerusi kawalan iDrive, dan penumpang tempat duduk hadapan juga boleh mengakses alas pengecas tanpa wayar.
Bagi sistem bantuan pemandu, ia diberikan Driving Assistant Plus yag terdiri daripada sistem bantuan berasaskan radar dan kamera termasuk Kawalan Cruise Aktif, bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Amaran ketibaan Lorong.
Di Malaysia, BMW 520i G60 ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Phytonic Blue Metallic, dan Cape York Green Metallic, bersama dua pilihan kemasan dalaman Veganza sama ada warna hitam atau coklat espresso.
GALERI: Foto rasmi BMW 520i 2024
BMW 520i G60 2024 dengan kelengkapan M Performance
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.