Setakat ini terdapat 33 jenis kenderaan pengangkutan darat yang dinyatakan layak untuk mendapat subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 dan 2.0. Ini termasuk bas ekspres, bas sekolah, lori kargo am, lori minuman botol, lori peti sejuk, lori luton, van berpanel/tingkap serta lori penggerak utama (prime mover).
Walaubagaimanapun, kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN) memberitahu ia sedang mengkaji kemungkinan menambah lebih banyak jenis kenderaan dalam senarai tersebut. Ini berlaku setelah pelbagai pihak menghantar permohonan dan rayuan berkaitan penambah baikan SKDS selepas harga diesel diapungkan kepada RM3.35 seliter Isnin lalu – lapor Bernama.
“Antara cadangan lain yang diterima adalah seperti menaikkan kuota asas sedia ada sekarang di bawah SKDS 1.0 untuk jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres,” kata menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
“Kementerian sedang meneliti semua ini, dan ia akan diangkat segera untuk pertimbangan jawatankuasa kelulusan subsidi diesel yang dianggotai oleh KPDN, kementerian kewangan (MOF), kementerian pengangkutan, jabatan pengangkutan jalan (JPJ), agensi pengangkutan awam darat dan jabatan kastam diraja malaysia (JKDM),” kata Armizan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Pengumuman oleh KPDN ini muncul selepas beberapa laporan berita menyatakan ada sektor perniagaan berkaitan pengangkutan darat akan menaikkan harga kerana tidak termasuk dalam senarai kenderaan yang layak untuk subsidi diesel. Ini antaranya termasuk trak tunda serta pengendali bas peranginan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.