Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 20 hingga 26 Jun 2024, harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.
Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Pada 10 Jun 2024, harga baharu bagi diesel Euro B10/B20 telah dinaikkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.
Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Pada 13 Jun lalu, beliau turut berkata, setakat ini belum ada keperluan subsidi bersasar itu dilaksanakan ke atas petrol RON95.
Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.
Manakala pada 27 Mei lalu pula, MOF mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi. Pemohon yang berjaya di bawah program bantuan ini akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.