Tindakan pemilik kenderaan pendaftaran asing membeli petrol RON 95 di stesen minyak tempatan bagai sukar untuk dibendung. Ini kerana hukuman yang dikenakan hanyalah terhadap pengusaha stesen minyak terbabit yang dikenakan penalti yang tinggi mengikut undang-undang sedia ada.
Justeru Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa agar penyelesaian yang sesuai diambil supaya dapat menangani isu ini, laporan Berita Harian
“Undang-undang semasa di Malaysia tidak menghukum pemandu asing yang sengaja membeli minyak RON95 bersubsidi yang tidak diperuntukkan untuk mereka dan ini mewujudkan situasi di mana pesalahlaku terus membuat percubaan untuk mendapatkan bekalan minyak RON95 bersubsidi ini, secara tersembunyi dan pada waktu-waktu yang dilihat lebih sesuai.
“Ini menjadikan pemantauan dan pencegahan sukar untuk pekerja kami terutama apabila transaksi membabitkan pembelian minyak RON95 menggunakan kad debit atau kredit di pam,” kata Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.
Tambahnya, adalah penting untuk menekankan bahawa dana yang digunakan untuk subsidi RON95 datang daripada pembayar cukai Malaysia.
Selain mengambil gambar dan menyebarkan ke dalam media sosial, pihaknya turut meminta orang awam untuk bekerjasama dengan segera dan memberitahu juruwang atau pekerja ‘forecourt’ apabila mereka melihat kejadian seperti ini berlaku.
“Juruwang kami boleh menghentikan pam dengan secepat mungkin melalui sistem dari dalam kedai, namun, pihak PDAM kecewa kerana tindakan yang boleh diambil adalah terhad, hanya mampu untuk menghentikan penjualan kepada pemandu terbabit di stesen sahaja.
“Tiada laporan lanjut yang boleh dibuat terhadap pemandu terbabit kerana tiada rang undang-undang yang boleh menghukum pemandu yang menyalahgunakan subsidi petrol RON95 ini. Kami juga tidak boleh terbabit dalam konflik bersama pesalah laku kerana ia boleh menyebabkan insiden yang tidak diingini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada orang awam dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk bekerjasama mencari penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu ini dan memastikan dana pembayar cukai digunakan dengan sewajarnya serta adil, untuk manfaat rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.