Sime Darby Motors (SDM) hari ini melancarkan satu lagi cabang perniagaan automotifnya di Malaysia, iaitu pusat servis sehenti berbilang francais yang dikenli sebagai Drivecare. Pelancaran ini berlangsung di salah sebuah cawangan Drivecare yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Menurut SDM, Drivecare diwujudkan bagi memenuhi keperluan pemilik kereta daripada semua segmen dan jenama, menawarkan harga yang berpatutan, menyediakan kemudahan dan kaselesaan kepada pelanggan, serta disokong oleh kepakaran jurutekniknya yang terlatih.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa Drivecare juga diperkenalkan bagi menangani keresahan umum yang dihadapi oleh pelanggan di banyak bengkel servis kenderaan, seperti kemudahan yang tidak mencukupi dan mutu kerja kurang baik, perkhidmatan pelanggan kurang memuaskan dan ketiadaan ruang menunggu yang selesa.
“Dengan memanfaatkan kepakaran automotif SDM yang luas dan kelengkapan yang canggih, Drivecare menjanjikan pengalaman luar biasa bagi perkhidmatan dan penyenggaraan kereta pada harga yang berdaya saing.
“Pelanggan Drivecare boleh menikmati kemudahan yang disenggarakan dengan baik, ruang kerja teratur dan ruang menunggu yang selesa. Kemudahan terkini dan peralatan canggih di Drivecare memastikan bahawa setiap kenderaan mendapat perhatian dan penjagaan rapi daripada pasukan juruteknik berpengalaman,” kata SDM dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Pengarah urusan Sime Darby Motors Andrew Basham pula menyatakan bahawa Drivecare mencerminkan komitmen syarikatnya untuk meluaskan kemudahan penjagaan kenderaan terbaik kepada rakyat Malaysia.
“Dengan menggabungkan kualiti perkhidmatan tiada tandingan dengan nilai hebat, kami berhasrat memberikan pengalaman yang lancar dan luar biasa kepada pemilik kenderaan. Drivecare bakal menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan perkhidmatan lepas jualan,” katanya.
Selain menyediakan servis untuk orang ramai, Drivecare turut disokong oleh Sime Darby Auto Selection, iaitu jaringan jualan kenderaan pramilik yang turut dimiliki oleh SDM. Drivecare yang beroperasi di dalam kemudahan Auto Selection, akan menjamin perkhidmatan dan sokongan lancar bagi pembeli kenderaan pramilik, kata SDM lagi.
Buat masa sekarang pusat servis Drivecare Chan Sow Lin ini boleh menerima pelanggan sehingga 10-unit kenderaan sehari dengan menyediakan enam ruang servis. Ia juga menyediakan kaunter khas untuk pelanggan yang mahu membeli alat ganti tulen yang ditawarkan di sini.
Bagi pelanggan yang tidak berkesempatan untuk menghantar kereta mereka diservis di fasiliti ini, Drivecare turut menawarkan khidmat servis bergerak yang boleh datang ke tempat pelanggan dalam radius 40 km dari pusat servis. Selain servis penukaran minyak enjin, khidmat servis bergerak ini turut mampu untuk memberikan khidmat lain seperti penukaran pad brek, tayar dan juga imbangan tayar.
Sempena pelancarannya, dari 26 Jun hingga 31 Julai 2024, Drivecare menawarkan promosi istimewa bagi mengalu-alukan pelanggan menikmati pengalaman servis yang disediakan. Antaranya termasuk pemeriksaan kenderaan percuma, diskaun 20% untuk caj alat ganti dan buruh, set bilah pengelap cermin percuma dengan setiap penggantian cermin depan, khidmat cucian kereta percuma untuk semua servis dan satu produk Liqui Moly turut diberi secara percuma.
Di samping itu, Drivecare turut menawarkan promosi tempoh terhad bagi pelanggan yang menghantar dua kenderaan untuk diservis. Seramai 100 pelanggan pertama yang membawa kereta kedua untuk servis akan menikmati diskaun 50 peratus bagi minyak enjin, tertakluk kepada terma dan syarat. Tawaran hanya sah untuk kenderaan yang didaftarkan di bawah pemilik yang sama.
Selain dari cawangan di Kuala Lumpur ini, Drivecare turut telah beroperasi menerusi satu lagi cawangannya yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Drivecare bukan hanya dirancang untuk diperluaskan ke seluruh negara, malah ia turut disasar untuk di bawa ke semua pasaran Asia Tenggara, dikuti oleh pelancaran meliputi operasi SDM di seluruh rantau Asia Pasifik. Ia selaras dengan komitmen SDM bagi “menawarkan perkhidmatan automotif yang boleh dipercayai dan mudah didapati.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.