Persatuan Peniaga dan Pencelup Tayar Malaysia meminta kerajaan agar membenarkan pekerja asing bekerja sebagai juruteknik di bengkel-bengkel memandangkan agak sukar untuk mencari anak-anak tempatan yang berminat untuk bekerja dalam bidang tersebut, lapor The Star.
Presiden persatuan itu, Goh Kiang Weng menyatakan bahawa pengedar dan pengusaha bengkel tayar buat masa sekarang sedang menghadapi kesukaran untuk mencari pelapis bagi dalam industri tersebut kerana kerja-kerja yang dilakukan dianggap “kotor”.
“Terdapat kekurangan juruteknik bengkel yang serius di negara ini, terutamanya di Johor Bahru kerana jaraknya yang dekat dengan Singapura. Industri ini menghadapi jurang besar di mana juruteknik sedia ada semakin tua dan bersara, namun tidak ada pengganti daripada generasi akan datang,” katanya temu bual oleh akhbar tersebut.
Menurutnya lagi bilangan mereka yang berkerja di bengkel-bengkel mula berkurangan dalam beberapa dekad sebelum ini, dan situasi itu telah menjadi lebih teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami merasakan bahawa mengupah pekerja asing adalah penyelesaian terbaik seterusnya. Tetapi kerajaan tidak membenarkan kami berbuat demikian kerana dikatakan terdapat pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mencukupi di negara ini yang boleh diambil bekerja.
“Sebagai pemain industri, kami melihat situasi yang berbeza kerana pemegang SKM muda lebih suka bekerja sebagai pemandu e-hailing, penunggang penghantaran makanan, dan rangkaian kedai makanan dan minuman berbanding bekerja dalam industri pembaikan automotif, yang menyebabkan tangan mereka kotor,” tambah Goh.
Beliau turut menjelaskan bahawa persatuan itu pernah membangkitkan perkara ini dengan wakil kerajaan pada masa lalu, dan sekali lagi merayu kepada pihak berkuasa untuk membenarkannya pengambilan pekerja asing untuk mengisi kekosongan itu.
“Dalam era pendigitalan dan peralihan model perniagaan, kami perlu menangani isu ini dengan serius atau berisiko disingkir oleh industri dan pengedar terpaksa ditutup,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.