Hyper SUV EV, Lotus Eletre sudahpun berada dalam pasaran tempatan sejak April tahun lalu. Seperti pasaran lain, Malaysia menerima SUV ini dalam varian Eletre S dan Eletre R, dan terbaharu Lotus Cars Malaysia hari ini turut mengumumkan harga baharu bagi varian asas Eletre dengan harga lebih mampu milik berbanding dua varian lebih tinggi tersebut.
Sekiranya anda mahu lihat model ini secara lebih dekat, keliga-tiga varian berkenaan kini sedang dipamerkan di Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org, berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).
Bagi model asas Eletre ini, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM598,800, dan penghantaran terawal untuk pelanggan yang sudah menempahnya akan bermula Oktober ini. Manakala untuk Eletre S dan Eletre R, ia masing-masing dijual pada harga RM698,000 dan RM838,000.
Kesemua varian Eletre ini menerima dua motor elektrik yang diletakkan masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan kebolehan pacuan semua roda. Motor-motor elektrik pada varian asas Eletre dan Eletre S dibekalkan dengan kuasa 605 hp dan tork maksima 710 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 258 km/j.
Manakala varian paling berkuasa Eletre R pula dibekalkan dengan kuasa 905 hp dan tork maksima 985 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.92 saat dan mencatatkan kelajuan maksimum 265 km/j. Kesemua varian menerima bateri 112 kWh, yang membolehkan Eletre dan Eletre S bergerak 600 km mengikut kitaran WLTP dengan satu cas penuh, manakala Eletre R yang lebih berkuasa boleh mencapai jarak gerak sejauh 490 km.
Unit rangkaian kuasa ini berfungsi menerusi asas seni bina elektrikal 800-volt. Ini membolehkan pengecas pantas DC 350 kW, memenuhkan bateri dari 10-80% dalam masa 20 minit.
EVx 2024 berlangsung bermula hari ini, 20 Julai sehingga 21 Julai 2024 di buka dari 9 pagi hingga 7 malam setiap hari. Jadi nak tengok barisan model Lotus Eletre ini, datanglah ke SACC sekarang!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.