Continental Tyre Malaysia mengumumkan bahawa ia kini telah memperluaskan lagi penawaran teknologi kedap sendiri ContiSeal pada lebih banyak pilihan jenis dan saiz rim tayar-tayarnya yang dijual dalam pasaran tempatan.
Menurut CTM, teknologi yang membolehkan tayar yang bocor membuat kedapan sendiri secara automatik ini akan mengurangkan risiko tayar pancit terutamanya di jalan raya Malaysia yang sering menghadapi hujan lebat, jumlah trafik yang tinggi, jalan berlubang dan serpihan jalan.
Teknologi ContiSeal ini diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2003, dan ia ditambah baik dari masa ke masa selama dua dekad, dan kini ia membolehkan pengedapan segera sebanyak 80% daripada semua tusukan, serta 99.9% daripada tayar pancit sehingga diameter 5mm apabila tusukan berlaku, dakwa Continental.
Menurut pengeluar tayar dari Jerman itu lagi, ketahanan dan keanjalan tayar ContiSeal dipertingkatkan menerusi proses pemvulkanan, seterusnya menghasilkan bunyi rongga (cavity noise) yang boleh mengurangkan sehingga 3dB melalui ruang jisim yang diminimumkan dalam tayar.
Dengan kemampuan menyumbat lubang sehingga diameter 5mm, Continental mendakwa teknologi ini menghasilkan pengedap kedap udara yang menghalang udara daripada bocor. Lapisan pengedap yang digunakan pada bahagian dalam tayar di kawasan bunga itu memastikan tayar mengekalkan integriti dan prestasinya, walaupun dalam keadaan yang ketat dan mencabar.
Continental juga menyatakan bahawa pengguna tidak perlu segera untuk menukar tayar di tepi jalan sekiranya ada objek asing seperti paku menusuk tayar kerana lubang tetap tertutup walaupun objek yang menusuk itu tercabut. Prestasi teknologi pengedap kendiri ini turut didakwa tidak terjejas oleh faktor persekitaran, dengan hayat perkhidmatan yang melebihi tayar itu sendiri bagi memberikan perlindungan yang berterusan sepanjang jangka hayat tayar.
Berbanding tayar jenis run-flat, Continental menyatakan bahawa tayar ContiSeal ini berfungsi seperti tayar standard tanpa mengorbankan keselesaan dan tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan khusus. Ia juga tidak mempunyai had pada pengendalian, kelajuan dan jarak seperti tayar run-flat kerana tayar ContiSeal mengekalkan integriti dan prestasi walaupun selepas pancit.
“Meskipun tayar pengedap kendiri mungkin pada awalnya adalah lebih mahal, dalam jangka panjang tayar ini merupakan penjimatan kos untuk pemilik kereta, sekali gus mengurangkan keperluan untuk bantuan di tepi jalan, penundaan atau penukaran tayar dengan kerap.
“Tambahan pula, Continental menjamin ContiSeal di bawah waranti pembuatan standardnya; sekiranya berlaku sebarang kecacatan prestasi pengedap untuk tusukan dalam lingkungan 5mm (di kawasan bunga), bayaran balik waranti pro rata akan diberikan,” kata Continental dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Ia juga menambah bahawa dengan pembelian tayar ContiSeal, pengguna jalan raya juga boleh meraih manfaat daripada Total Confidence Plan (TCP), yang menyediakan penggantian tayar satu sama satu untuk kerosakan jalan yang tidak dijangka dalam tahun pertama, dengan tuntutan diuruskan dengan mudah melalui aplikasi Conti TCP.
Continental menyasarkan matlamat untuk menawarkan sepenuhnya teknologi ContiSeal ini menjelang Julai 2024 untuk kesemua model tayar popular iaitu UltraContact UC7, PremiumContact C (PCC) dan UltraContact UC6 SUV, dalam saiz antara 16” hingga 20”. Ia akan dijual menerusi mana-mana pengedar yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di kedai e-dagang Shopee dan Lazada rasmi Continental.
Syarikat itu juga menyatakan disebabkan keupayaan pengedap kendiri yang berkesan, ramai pemandu mungkin tidak menyedari sebarang tusukan atau objek tajam menembusi tayar ContiSeal. Oleh itu ia menasihatkan pengguna agar sentiasa memantau sebarang penurunan tekanan tayar menerusi sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS) kenderaan masing-masing dan membuat pemeriksaan tayar secara berkala oleh pakar tayar untuk memastikan integriti tayar yang berterusan dan jangka hayat produk.
Selain itu Continental juga menasihatkan pengguna tayar dengan teknologi ContiSeal ini agar melawat kedai pengedar tayar untuk pemeriksaan menyeluruh bagi mengelakkan kelembapan daripada memasuki tayar melalui sebarang tusukan, yang seterusnya boleh merosakkan struktur dalamannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.