Honda telah pun mendedahkan Honda Civic generasi ke-11 untuk versi facelift di Jepun, dan model berkenaan kini turut ditawarkan dalam versi lebih sporty tetapi masih satu tangga di bawah varian Type R, dikenali sebagai Honda Civic RS. Walaupun nama dan logo RS berkenaan sama seperti model yang ditawarkan di pasaran ASEAN termasuk Malaysia, model JDM ini dihasilkan lebih unik yang pastinya membuatkan peminat Honda luar Jepun tidak puas hati.
Pertama sekali, Civic RS JDM ini dihasilkan dalam badan hatchback, berbanding sedan di pasaran lain. Ini kerana Jepun buat masa sekarang memang hanya menawarkan Civic dalam versi hatchback selepas sekali lagi menamatkan riwayat Civic sedan di sana pada 2020.
Model RS JDM ini masih dibekalkan dengan enjin 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo berkuasa 182 PS, namun ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual yang memberikan pemanduan lebih seronok. Roda tenaga pada enjin juga kini lebih ringan, dan kotak gear tersebut turut diberikan sistem rev-match seperti Type R, membolehkan throttle blip diberikan secara automatik tanpa pemandu membuat teknik heel & toe ketika menurunkan gear secara agresif.
Selain itu, Honda turut memberikan talaan semula pada pengendalian Civic RS ini dengan suspensi dan torsion bar stereng yang lebih keras, serta set brek hadapan yang lebih besar. Suspensi talaan baharu tersebut juga membuatkan Civic RS ini sekitar 5 mm lebih rendah dari Civic biasa.
Dari segi rupa, model produksi Civic RS JDM ini menampilkan bahagian luaran yang sama seperti Civic RS Prototype yang didedahkan di Tokyo Auto Salon Januari lalu. Ia diberikan gril hadapan yang sama seperti Civic facelift yang telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat dan Thailand, dengan elemen sarang lebah bersama kerangka dibina dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar.
Elemen yang sama turut dibawa ke gril bampar yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model biasa. Bampar baharu ini nampak lebih aerodinamik dengan menampilkan panel seperti spoiler pada sebelah bawah serta liang udara sisi menegak pada setiap sisi yang nampak dapat mengalirkan udara ke bahagian perumah roda hadapan.
Namun pada bahagian belakang, model ini masih diberikan bampar yang nampak sama seperti versi sebelum ini dengan menampilkan panel diffuser pada bawah bampar bersama perumah ekzos yang pada setiap sisi. Khas untuk varian RS ini, ia diberikan lencana RS berwarna merah pada gril hadapan dan pintu hatch belakang, rim aloi 18-inci dengan rekaan jejari sama seperti model RS Turbo di Malaysia dan Civic Si pasaran Amerika Syarikat serta cermin sisi dengan penutup kemasan hitam berkilat.
Manakala sebelah dalam, model RS ini diberikan serlahan jalur merah pada bahagian sekeliling liang penghawa dingin, tombol gear aluminium balutan kulit, serta serlahan jahitan benang merah pada tombol dan sarung tuil gear serta pada roda stereng yang juga dibalut kulit.
Sama seperti model dipasaran AS dan Thailand, Civic facelift di Jepun ini turut sudah mendapat sistem Google Built-in, membolehkan fungsi seperti Google Assistant, Google Maps, Google Play dan lain-lain beroperasi pada skrin infotainmen.
Untuk keselamatan pula Civic ini diberikan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Sistem berkenaan memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong, pengelak keluar laluan bersama amaran keluar lorong, cruise control adaptif bersama Low Speed Follow, Traffic Jam Assist. dan lain-lain.
Honda Civic RS 2025 pasaran Jepun ini akan mula dijual bermula September 2024 dengan harga ¥4,198,700 (RM131k). Honda turut menawarkan spoiler belakang besar Modulo untuk Civic RS ini yang boleh dibeli bermula bulan November, didakwa dibangunkan bersama pelumba lagenda Jepun, Keiichi Tsuchiya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.