Satu tahun selepas ia dipertonton di Malaysia, sewaktu Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023, Suzuki V-Strom 250 SX kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran, pada harga RM17,800 tidak termasuk insurans. Tiga pilihan warna disediakan, iaitu oren, kuning dan hitam.
Model berciri adventure ini digerakkan oleh enjin satu silinder 249 cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 26.5 PS pada 9,300 rpm dan 22.2 Nm tork pada 7,300 rpm.
Sebagai sebuah motosikal yang boleh digunakan bukan sahaja di atas jalan biasa, tetapi juga offroad ringan, V-Strom 250 SX diberikan dengan rim aluminium bersaiz 19 inci di hadapan dengan tayar 100/90, dan 17 inci dengan tayar 140/70 di belakang.
Suspensi biasa yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang digunakan pada motosikal ini, menghasilkan kelegaan dari tanah 205 mm dan tinggi tempat duduk 835 mm. Berat keseluruhannya adalah 167 kg.
Kelengkapan lain yang didatangkan secara standard pada V-Strom 250 SX adalah penghadang tangan, tangki bahan api 12 liter, lampu hadapan dan belakang LED, soket pengecas USB, panel meter digital, brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS, pelindung bawah enjin, peletak kaki dengan alas getah serta tapak beg barangan yang sudah tersedia di belakang. Beg barangan pula dijual secara berasingan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.