Puspakom mengumumkan pelancaran tempoh percubaan operasi selama 16 jam sehari di cawangan Glenmarie mulai 2 September 2024 hingga 3 Januari 2025. Ini merupakan langkah proaktif syarikat bagi menampung permintaan pemeriksaan yang semakin meningkat dan juga salah satu langkah strategik Puspakom ke arah skop pasaran terbuka di dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.
Menurut Puspakom, sepanjang tempoh percubaan ini, pelanggan yang ingin membuat pemeriksaan di cawangan Glenmarie boleh membuat temujanji pemeriksaan dengan lebih awal bermula 16 Ogos 2024 di www.mypuspakom.com.my . Dengan waktu operasi yang baharu ini, secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak slot temujanji pemeriksaan kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, berkata penambahan waktu operasi ini merupakan sebahagian daripada projek percubaan Puspakom untuk menilai kesesuaian pelaksanaan waktu operasi yang lebih panjang.
“Kami sedang cuba untuk melanjutkan waktu operasi yang lebih panjang bagi mengurangkan kesesakan di cawangan-cawangan Puspakom yang mempunyai trafik yang tinggi dan untuk permulaan ini, kami memilih Puspakom Glenmarie sebagai cawangan percubaan bagi mengenal pasti ruang-ruang penambahbaikan.
“Kami ingin melihat sambutan pelanggan terhadap lanjutan waktu operasi ini dan sekiranya mendapat sambutan yang baik, kami akan melaksanakan secara berperingkat di cawangan-cawangan lain,” kata Mahmood.
Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Puspakom dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik, bahkan juga sebagai usaha untuk memastikan pelanggan dapat merancang pemeriksaan dengan lebih fleksibel dan selesa.
Tambahnya, Puspakom mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke cawangan Puspakom Glenmarie dengan waktu operasi baharu ini dan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan. Sebagai makluman, waktu operasi di cawangan-cawangan Puspakom yang lain kekal sama dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.