MG Malaysia baru sahaja menyiarkan teaser untuk dua model baharu yang bakal diperkenalkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi iaitu sedan segmen-C MG5 GT dan SUV segmen-C MG HS. Berdasarkan hitung undur yang disiarkan menerusi grafik yang dihantar menerusi laman sosial MG Malaysia itu, kedua-dua model tersebut akan didedahkan secara rasmi dua hari lagi, iaitu pada 22 Ogos nanti.
Ini merupakan dua model pertama dengan enjin pembakaran dalaman di bawa oleh MG ke Malaysia kerana dua model yang sudah dilancarkan iaitu MG4 dan MG ZS merupakan model dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV). Kedua-dua model ini juga telah berada di dua pasaran ASEAN terbesar iaitu Indonesia dan Thailand.
Bagi MG5 (GT di Indonesia, tanpa GT di Thailand), ia merupakan sedan yang dihasilkan dengan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm – cukup membolehkan ia bertanding dengan sedan segmen-C lain seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.
Tiada lagi sebarang perincian berkenaan spesifikasi sedan ini, namun di Indonesia dan Thailand, kedua-dua pasaran ini menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA berkuasa 114 PS/150 Nm dan juga kotak gear CVT automatik.
Walau bagaimanapun, di Australia MG5 yang digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang lebih bertenaga iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 162 PS dan tork maksima 250 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengedar-pengedar MG di laman-laman sosial sebelum ini, ada beberapa perincian yang boleh kita lihat mungkin ditawarkan pada pasaran Malaysia. Antaranya rim aloi 17-inci, skrin infotainmen bersaiz 10-inci, lampu hadapan LED dan juga paparan instrumen digital sepenuhnya.
Manakala untuk MG HS, SUV ini menampilkan dimensi 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm dengan jarak roda 2,720 mm, iaitu saiz yang membolehkan ia bertanding dalam kelas sama seperti Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5. Di Indonesia dan Thailand, MG HS masih dijual dalam versi facelift generasi pertama yang telah diperkenalkan sejak 2020, bukan model generasi baharu yang didedahkan di Goodwood Festival of Speed bulan lalu.
Malaysia juga masih akan menerima model generasi yang sama seperti di Thailand dan Indonesia yang dijana enjin 1.5 liter turbo berkuasa 162 PS/250 Nm dan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, berdasarkan apa yang didedahkan beberapa pengedar MG sebelum ini.
Di Thailand, MG HS ini turut ditawarkan dalam varian plug-in hybrid (PHEV) yang menerima tambahan motor elektrik dengan kuasa 122 PS/230 Nm, bagi membekalkan kuasa keseluruhan 284 PS/480 Nm. Versi ini juga disertakan dengan bateri 16.6 kWh untuk jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 67 km (NEDC) serta kotak gear EDU II 10-kelajuan (enam untuk enjin, empat untuk motor elektrik).
Apa pun, untuk mengetahui spesifikasi sebenar MG5 GT dan HS pasaran Malaysia ini, pastikan anda bersama kami sehingga 22 Ogos nanti. Setakat ini apa pendapat anda berkenaan kedua-dua model ini? Kongsikannya dengan kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.