Masalah kenderaan tersadai bukan setakat menyusahkan orang dan menyakitkan mata, tetapi untuk mengalih dan melupuskannya juga memerlukan kos yang tinggi. Ini sesuatu yang diutarakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, jumlah besar terpaksa dibelanjakan setiap tahun untuk mengatasi masalah ini, dan hanya sedikit sahaja pulangan kewangan yang diperoleh – lapor The Star. Pengarah eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin memberitahu, DBKL membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk mengalihkan kenderaan tersadai ini daripada jalan, tapi hanya mendapat sedikit sahaja pulangan melalui lelongan.
“Kami membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk menguruskan kenderaan sadai ini setiap tahun dan sebahagian besar kosnya pergi ke bahagian logistik – penggunaan lori, kren dan trak tunda – dan membayar gaji lebih masa kepada pekerja,” kata beliau.
Ismadi memberitahu, proses ini memakan masa kerana DBKL hanya mempunyai 14 trak tunda. “Dalam kes tertentu, kami perlu menggunakan kren untuk mengangkat kenderaan tersebut daripada tempat yang sempit. Jika kenderaan itu terlalu besar untuk akses, kami perlu menunggu masa lain untuk menggunakan pengangkut yang lebih sesuai,” kata beliau.
Sebagai tambahan, prosedur panjang untuk mengalih dan melupuskan kenderaan tersadai boleh mengambil masa sehingga enam bulan atau lebih, bermula dengan notis 14 hari. Beliau berkata, proses ini biasanya terganggu oleh pemilik yang cuba mengelak tanggungjawab dengan meletakkan kenderaan mereka di tempat lain.
“Notis diletakkan pada kenderaan, seterusnya memberikan masa 14 hari untuk pemilik mengalihkannya. Walaubagaimanapun, ada pemilik yang cuba mengelak proses ini dengan hanya membawa kenderaan mereka ke tempat lain. Ini memaksa kami untuk memulakan kembali proses dari awal dengan mengeluarkan notis sekali lagi,” kata beliau.
Selepas tempoh 14 hari, kenderaan tersadai ini kemudiannya ditunda ke depoh simpanan, di mana DBKL membuat pengesahan statusnya dengan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis. “Semasa kami mengambil kenderaan ini, kami perlu membuat laporan polis. Terdapat kemungkinan kenderaan tersebut adalah kenderaan curi atau digunakan untuk membuat jenayah,” kata beliau.
Pemilik kemudiannya diberikan tempoh tiga ke enam bulan untuk mengambil kembali kenderaan mereka, dan jika ini tidak dibuat, kenderaan tersebut akan dijual secara lelong kepada syarikat besi buruk. Tambah Ismadi, lelongan ini biasanya dibuat sekali setiap tahun dan melibatkan 500 hingga 1,000 buah kenderaan. Pulangan yang diterima cuma sekitar RM300,000.
Awal tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan e-Dereg, iaitu satu platform dalam talian untuk memudahkan proses membatalkan pendaftaran kenderaan sekiranya mereka mahu melupuskan kenderaan tersebut, melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.