Influencer habis tiga jam untuk cas EV, hanya dapat 229 km, tak cukup sampai rumah — video tular

<em>Influencer</em> habis tiga jam untuk cas EV, hanya dapat 229 km, tak cukup sampai rumah — video tular

Keresahan tentang jarak perjalanan EV muncul lagi melalui satu video tular di Instagram. Seorang influencer, Iman Kamil yang memandu MG4 Xpower di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat berhenti untuk mengecas kenderaannya menggunakan pengecas Gentari 50 kW DC di Kawasan R&R Gambang pada jam 2.05 pm, dengan SoC baterinya berbaki 19%, seperti yang tertera dalam videonya.

Di sana, ada dua lagi EV sedang menunggu giliran untuk mengecas — sebuah Tesla Model Y dan Model 3. Hanya ada satu pengecas di lokasi. EV pertama selesai sekitar 2.45 pm, dan EV satu lagi selesai sekitar 3.40 pm. Selepas Iman selesai mengecas dengan SoC baterinya pada tahap 96% (mula mengecas ketika SoC 14%), masa sudah mencecah 5.05 pm. Jarak yang diperoleh ketika itu ialah 229 km, sedangkan untuk sampai ke rumahnya ialah 227 km — dia perlu berhenti untuk mengecas sekali lagi.

Banyak perkara yang dinyatakan dalam videonya itu sahih — EV memang tidak sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Dan antara masalah yang masih membelenggu pengguna EV antaranya jumlah pengecas pantas yangt tidak banyak dan pengguna pengecas yang tidak bertimbang rasa.

Untuk menunggu lebih daripada sejam setengah hanya untuk menggunakan pengecas EV adalah perkara yang melelahkan. Iman mungkin boleh buat pusingan U untuk menggunakan pengecas di R&R Gambang arah timur (yang lebih pantas dengan 90 kW setiap pengecas) sebelum membuat pusingan U sekali lagi dan memerlukan masa yang lebih singkat. Seperti dinyatakannya, ini belum lagi melibatkan situasi ketika musim perayaan, yang barisan menunggu tentunya lebih panjang.

Namun, video Iman juga mengecualikan beberapa faktor lain yang menarik untuk diperhatikan. Pertama, lihat kadar penggunaan kuasa keretanya: 29.8 kWh bagi setiap 100 km. Ini sangat tinggi, dan memberi petunjuk bahawa dia mungkin memandu laju yang menyumbang kepada penggunaan bateri tidak cekap berbanding pemanduan biasa yang lebih sederhana.

Satu lagi petunjuk yang mungkin menyumbang perkara ini tertera di paparan instrumennya — dia menetapkan had laju untuk kawalan melayar adaptif pada 160 km/j. Ini juga menjadi punca penggunaan tenaga EV-nya tidak cekap dan sistem akan menggunakan banyak tenaga untuk memberikan prestasi berterusan seperti itu. Untuk rekod, kapasiti bateri MG4 Xpower ialah 64 kWh sahaja, bukanlah terlalu besar.

Sekadar perbandingan, ketika rakan sekerja kami Hafriz Shah meluangkan masa menggunakan model EV yang sama, bacaan yang diperoleh adalah antara 16 dan 16.5 kWh bagi setiap 100 km dalam keadaan pemanduan yang pelbagai, yang memberikan jarak sekitar 380 km untuk satu cas penuh. Ini hampir menyamai jarak WLTP yang didakwa boleh dicapai oleh MG4 Xpower tersebut, iaitu 385 km. Walaupun dengan penggunaan 20 kWh per 100 km pun akan memberikan 310 km jarak, dan cukup untuk dia sampai ke destinasi akhir tanpa perlu berhenti sekali lagi untuk mengecas.

Selain itu, turut dibangkitkan ialah etika penggunaan pengecas. Iman merungut mengatakan pengguna sebelumnya menggunakan pengecas hingga penuh, dengan tempoh lebih 47 minit. Ini memang kurang bertimbang rasa, kerana jelas ada pengguna lain yang sedang menunggu giliran. Tetapi, Iman bahkan lebih teruk kerana menggunakan pengecas itu selama 1 jam 20 minit untuk tiba ke kapasiti bateri 96% itu.

<em>Influencer</em> habis tiga jam untuk cas EV, hanya dapat 229 km, tak cukup sampai rumah — video tular

Sepatutnya, Iman tidak perlu menunggu selama itu. Mengecas hingga 80% tetap akan menyebabkannya beredar agak lewat, tetapi itu lebih baik daripada menghabiskan masa tiga jam di situ. Lebih penting, dengan memandu secara lebih cekap, dia boleh sampai ke destinasi lebih awal, tanpa perlu berhenti cas sekali lagi (walaupun dengan 20 kWh per 100 km, 80% cas akan memberikan jarak sekitar 250 km).

Jurang masa itu sangat penting, dan walaupun memandu 160 km/j sekali pun tidak akan membolehkannya tiba dalam kadar waktu yang sama selepas itu. Tambahan pula, pengecas pantas DC hanya dicadangkan untuk mencapai tahap 80% sahaja bagi bateri nickel manganese cobalt (NMC) seperti yang digunakan MG4 Xpower tersebut, untuk menjamin jangka hayatnya supaya lebih lama.

Jadi, dua pengajaran yang boleh diraih daripada kejadian ini. Pertama, setiap kali anda perlu menggunakan pengecasa EV awam, bertimbang rasalah terhadap pengguna yang lain. Kedua, jika anda memandu EV, memandulah dengan lebih cekap dan berhemah dan tidak memecut untuk mendapatkan bacaan jarak yang sepatutnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required