Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.
Kata beliau lagi, kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan namun meningkat disebabkan terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan, laporan Bernama.
“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan. Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan berasakan ini (projek lebuhraya) projek rakyat,” katanya ketika merasmikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan).
Beliau yang turut mengakui kebimbangan mengenai kadar tol sering disuarakan orang ramai selain menyifatkan ia sebagai munasabah.
Pada akhir Februari lalu, Anwar berkata, konsesi tol bagi lebuhraya di sekitar Kuala Lumpur boleh dirunding semula apabila keadaan kewangan negara bertambah baik.
Beliau mengakui bersetuju dengan pandangan mengenai terlalu banyak plaza tol di sekitar ibu negara, namun pemansuhan tol tidak dapat dilakukan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian. Katanya, pemansuhan tol akan menyebabkan perbelanjaan tambahan berikutan terdapat perjanjian yang dibuat bersama syarikat konsesi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

