Mei lalu Toyota bersama sekutunya iaitu Mazda dan Subaru telah berikrar akan terus menghasilkan enjin pembakaran dalaman, dan dalam masa yang sama gergasi automotif Jepun tersebut turut menunjukkan enjin empat-silinder sebaris generasi baharu berkenaan yang dihasilkan dalam beberapa variasi iaitu 1.5 liter turbo, 1.5 liter NA dan 2.0 liter turbo.
Menerusi video yang telah disiarkan oleh saluran YouTube Toyota Times, varian paling berkuasa dari tiga enjin tersebut iaitu versi 2.0 liter empat-silinder turbo telah ditunjukkan diletakkan pada sebuah kereta prototaip, dan dapat disaksikan ia menghasilkan bunyi dan juga pecutan yang cukup sporty.
Toyota belum lagi mengumumkan sebarang spesifikasi enjin berkenaan, namun beberapa perinciannya telah didedahkan menerusi laporan dari jurnalis laman Kuruma-News yang turut menyertai acara tersebut.
Laporan itu mendedahkan bahawa enjin berkenaan sebenarnya disumbatkan pada sebuah Lexus IS generasi sedia ada, dan ia ditala bagi menghasilkan kuasa 400 HP serta boleh menjerit pada redline yang ditetapkan pada 7,100 rpm! Seperti yang anda boleh lihat dalam video, enjin berkenaan dilengkapi dengan pedal penukar pada roda stereng menandakan ia digandingkan dengan kotak gear automatik.
Dan dalam acara yang sama, Kuruma News mendedahkan bahawa Toyota turut menunjukkan enjin yang sama ditala dengan kuasa 300 HP dengan tahap redline pada 6,200 rpm, dan unit ini telah disumbat pada trak pikap Toyota Hilux serta digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan!
“Kedua-dua enjin ini memberikan rasa pecutan yang ringan dari kedudukan pegun, dan ia hampir tiada turbo lag, dan seseungguhnya ia memberikan rasa ‘seronok untuk dipandu’,” tulis laporan berkenaan.
Enjin-enjin generasi baharu ini dihasilkan oleh Toyota dengan sasaran bagi memberikan alternatif kepada teknologi EV, direka bagi memudahkan ia dipadankan dengan sistem elektrifikasi. Namun dengan pendedahan ini nampaknya enjin-enjin tersebut turut akan membolehkan Toyota hadir dengan pelbagai lagi model prestasi tinggi dengan lencana GR.
Dan ia turut disokong oleh kenyataan yang dibuat oleh salah seorang jurutera Toyota dalam acara tersebut bahawa enjin 2.0 liter empat silinder baharu ini disasarkan akan menjadi penerus kepada enjin lagenda Toyota iaitu 2JZ! “Toyota mempunyai enjin yang terkenal di seluruh dunia digelar sebagai enjin 2JZ. Saya sasarkan enjin baharu ini akan lebih baik dari enjin tersebut,” katanya.
Enjin 2JZ merupakan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris yang dipadankan pada pelbagai model coupe dan sedan Toyota pada era 90’an seperti Soarer, Chaser, Aristo dan pelbagai lagi. Dan versi paling popular sudah tentu adalah dari varian 2JZ-GTE yang dipadankan dengan pengecas turbo dan boleh ditemui dalam perut Toyota Supra generasi ke-empat.
Walaupun sudah tidak lagi digunakan dalam model-model terkini Toyota, enjin 2JZ tersebut masih lagi menjadi pilihan dalam dunia sukan permotoran kerana ia mampu menampung penghasilkan kuasa sehingga 1,000 HP.
Sebelum ini pelbagai khabar angin bahawa Toyota bakal menghidupkan semula beberapa lagi model lagendanya seperti Celica dan MR2, jadi enjin ini mungkin akan dipadankan pada model-model tersebut. Dan dengan pemadanan enjin prototaip itu pada badan Hilux, tidak mustahil Toyota turut ada perancangan untuk menghasilkan trak pikap berprestasi tinggi bagi berhadapan terus dengan Ford Ranger Raptor!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.