Akio Toyoda bagi petunjuk Toyota GR Celica sedang dibangunkan – ada kembar Subaru untuk WRC?

Akio Toyoda bagi petunjuk Toyota GR Celica sedang dibangunkan – ada kembar Subaru untuk WRC?

Barisan kereta sport Toyota “tiga-beradik” dari era 90-an iaitu Supra-Celica-MR2 sudahpun kembali lengkap dibilik pameran terkini jenama gergasi automotif Jepun itu dengan penawaran GR SupraGR YarisGR 86. Malah untuk pasaran tertentu seperti Jepun, Asia Tenggara dan Australiasia, ada empat kereta sport GR yang boleh dibeli buat masa sekarang termasuk GR Corolla yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Namun nampaknya Toyota masih ada perancangan untuk memperkenalkan lagi kereta sport baharu pada masa akan datang – selain dari kemungkinan Toyota MR2 dihasilkan semula sebagai kereta sport elektrik, pengerusi Toyota yang juga pewaris generasi ketiga Toyota Motor Corporation iaitu Akio Toyoda membayangkan syarikatnya kini sedang membangunkan Toyota Celica generasi baharu!

“Saya bukan bercakap tentang hal ini kerana kita sekarang berada dalam acara rali, tetapi (Juha) Kankkunen [yang dijemput untuk membuat demo run] merupakan Mr. Celica. Dia merupakan juara empat kali dengan Celica. Sekarang anda semua boleh fikir mengapa saya sering menggunakan khidmat Kankkunen. Tengok lah kalau anda boleh teka!” kata Akio Toyoda ketika disoal Toyota Times berkenaan sejauh mana kebenaran bahawa syarikatnya kini sedang membangunkan semula Celica.

Akio Toyoda yang juga dikenali dengan nama samaran Morizo ketika berlumba menjawab soalan itu ketika berlangsungnya Rally Hokkaido minggu lalu. Dan akhir-akhir ini sememangnya Juha Kankkunen dilihat selalu bersama Akio Toyoda dan melakukan beberapa demo run seperti GR Yaris dengan kuasa hidrogen di Ypress Rally Belgium 2022, GR Yaris Rally2 di Rally Japan 2022 dan juga Hilux Hybrid di Rally Safari 2023.

Akio Toyoda bagi petunjuk Toyota GR Celica sedang dibangunkan – ada kembar Subaru untuk WRC?

Juha Kankkunen merupakan juara dunia empat kali dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu pada tahun 1986, 1987, 1991 dan 1993. Beliau merangkul gelaran dunia terakhirnya iaitu untuk musim 1993 dengan memandu Toyota Celica GT-Four ST185 Group A.

Celica generasi pertama diperkenalkan buat pertama pada tahun 1970, dan merupakan kereta sport flagship Toyota ketika mula diperkenalkan ketika itu. Nama Celica berasal dari bahasa Latin bermaksud “dari syurga” diberikan sempena kedudukan yang paling atas dalam hieraki barisan model keluaran Toyota.

Walau bagaimanapun, generasi pertama Celica ini sebenarnya secara spiritualnya merupakan moyang kepada Toyota Supra – menggunakan kod casis ‘A’ (TA22 untuk Celica generasi pertama, A92 untuk GR Supra terkini dalam pasaran), dan kereta sport tertinggi dalam hieraki model Toyota.

Pada model generasi kedua Celica, Toyota telah memperkenalkan Celica Supra (dikenali juga sebagai Celica XX untuk versi JDM), menggunakan enjin enam-silinder siri M. Seterusnya pada generasi keempat, nama Celica dan Supra dipisahkan – Supra kekal sebagai kereta sport flagship enam silinder pacuan belakang, Celica pula sebagai kereta sport lebih kecil dengan enjin empat silinder, memacu roda hadapan serta versi lebih hardcore diberikan pengecas turbo dan pacuan semua roda digelar GT-Four.

Akio Toyoda bagi petunjuk Toyota GR Celica sedang dibangunkan – ada kembar Subaru untuk WRC?

Generasi keempat Celica popular setelah Toyota membawa GT-Four ke pentas WRC untuk bertempur dengan Subaru Impreza WRX dan juga Mitsubishi Lancer Evolution. Walau bagaimanapun, generasi ketujuh Celica hadir tanpa versi GT-Four dan model yang dijana oleh 1.8 liter NA 2ZZ-GE tersebut lebih dilihat sebagai pencabar Honda Integra Type R DC2, sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006.

Toyota dilihat tidak mempunyai masalah untuk menghasilkan Celica generasi baharu sama dalam versi pacuan roda hadapan atau dengan enjin turbo bersama sistem pacuan semua roda. Ini kerana syarikat itu mempunyai platform TNGA dengan rekaan asas memacu roda hadapan serta boleh dipadankan dengan sistem pacuan semua roda dengan penggunaan suspensi jenis double wishbone di belakang.

Ianya telah dibuktikan menerusi model yang juga lahir dari WRC iaitu GR Yaris, malah enjin 1.6 liter tiga silinder turbo bersama sistem pacuan semua roda GR-Four pada GR Yaris (juga telah digunakan pada GR Corolla) boleh digunakan terus pada Celica generasi baharu nanti.

Akio Toyoda bagi petunjuk Toyota GR Celica sedang dibangunkan – ada kembar Subaru untuk WRC?

Apa yang Toyota perlukan sekarang hanya rekaan badan atas coupe dua pintu untuk model yang mungkin akan digelar sebagai Toyota GR Celica kelak. Dan boleh jadi Celica generasi baharu ini mungkin akan ada model kembar dengan Subaru seperti Toyota GR86 dan Subaru BRZ.

Ini kerana ketika Toyota dan Subaru meningkatkan pegangan saham antara kedua-dua syarikat pada 2019, antara yang diumumkan adalah kedua-dua jenama ini akan membangunkan model AWD yang disifatkan “akan menawarkan sensasi pemanduan pacuan semua roda terbaik.”

Malah baru-baru ini presiden Persekutuan Automobil Dunia (FIA), Mohamed Ben Sulayem mendedahkan bahawa Akio Toyoda memberitahu bahawa syarikatnya kini sedang membantu Subaru untuk kembali ke WRC dengan menghasilkan kereta yang boleh digunakan dalam kejohanan tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required