Ini model generasi baharu Toyota MR2? Dijana elektrik sepenuhnya dari bateri, diproduksi menjelang 2030

Ini model generasi baharu Toyota MR2? Dijana elektrik sepenuhnya dari bateri, diproduksi menjelang 2030

Idea untuk menghasilkan semula Toyota MR2 ini bukan satu perkara baharu. Sejak beliau dilantik sebagai Presiden dan CEO Toyota, cucu kepada pengasas Toyota Motor Corporation iaitu Akio Toyoda sering bercakap tentang cita-citanya untuk membawa semula kereta sport ‘tiga-beradik’ (Celica, MR2 dan Supra) era 90’an jenama automotif Jepun tersebut kembali ke bilik pameran.

Buat masa sekarang, tiga-beradik berkenaan sebenarnya telah lengkap dengan barisan baharu iaitu ‘Abang Long’ GR Supra, ‘Abang Ngah’ GR Yaris dan ‘adik bongsu’ GR 86. Sebelum ini, tempat Abang Ngah menjadi tanda tanya kerana ketika itu Toyota masih belum pasti sama ada mereka mahu melahirkan semula MR2 atau Celica, tetapi akhirnya GR Yaris muncul dengan ‘semangat’ dari Celica GT-4 iaitu jentera rali jalan raya yang dihasilkan untuk homologasi Kejuaraan Rali Dunia.

Namun nampaknya walaupun tiga-beradik tersebut telah lengkap, masih lagi kedengaran ura-ura bahawa Toyota masih berminat untuk menghasilkan MR2 generasi keempat. Sejak model generasi pertama, MR2 memang dihasilkan sebagai kereta sport dua-pintu, dua tempat duduk serta dengan enjin yang diletakkan di tengah (belakang pemandu), justeru diberi nama MR2 atau Mid-engine Rear wheel drive 2 seater.

Oleh itu, ada khabar angin Toyota sedang merancang kerjasama dengan pembuat kereta sport sedemikian seperti Porsche dan Lotus. Malah baru-baru ini juga ada khabar kerjasama berkenaan mungkin dibuat bersama dua jenama Jepun iaitu Suzuki dan Daihatsu, bagi menghasilkan kereta sport dua tempat duduk dengan enjin 1.0 liter yang diletakkan di tengah, mungkin bersaiz kompak seakan MR2 generasi ketiga atau lebih dikenali sebagai MR-S.

Walau bagaimanapun, segala usaha ini sebenarnya dilihat agak lambat – jika ia masih dalam peringkat perbincangan, pembangunan sebenar mungkin akan mengambil masa 2-3 tahun lagi. Jadi ia mungkin akan menghadapi masalah untuk dijual di Eropah kerana regulasi emisi di benua berkenaan bukan sahaja semakin ketat, malah enjin pembakaran dalaman konvensional pada kereta baharu bakal diharamkan terus penjualannya pada 2030.

Tetapi sebahagian teka-teki ini mungkin terjawab ketika sesi pembentangan media berkenaan strategi EV Toyota yang dilangsungkan di Jepun semalam – Akio Toyoda telah menunjukkan 16 buah kereta elektrik penuh yang bakal diproduksi oleh syarikatnya secara berperingkat menjelang 2030, dan salah satu daripadanya adalah sebuah kereta sport!

Apa yang menarik, rekaan kereta sport kuning dengan logo GR pada bampar hadapan tersebut menampilkan ciri-ciri ikonik sebuah MR2. Ia bukan sahaja hadir dengan hanya dua-pintu dan dua tempat duduk, malah ia turut direka dengan muncung yang rendah bersama fender hadapan berotot, diberikan liang udara dibelakang pintu serta bumbung yang boleh dicabut seperti MR2 AW11 dan SW20 sebelum ini.

Namun, selain dari namanya yang kini hanya dikenali sebagai ‘Sports EV’, dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya dari bateri, serta sah bakal muncul dalam pasaran selewat-lewatnya pada 2030, tiada sebarang perincian lain didedahkan oleh Akio Toyoda semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya, model-model EV Toyota ini masih menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan – berdasarkan apa yang telah dibuat pada GR Supra, GR Yaris dan juga GR 86 sedia ada, malah beliau juga memang ‘kaki kereta’ sebenar, penulis percaya apa yang dikatakan oleh bos besar Toyota tersebut.

Sama ada Sports EV ini benar-benar adalah model pengganti MR2, atau sememangnya akan dikenali sebagai “GR MR2”, kita masih perlu menunggu sehingga Toyota mengeluarkan sebarang petunjuk dan pengumuman baharu selepas ini. Peminat MR2 di luar sana macam mana? Setuju dengan idea MR2 berkuasa elektrik?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required