Jurugambar intipan kami telah mengirim satu set gambar menarik dari litar Nürburgring, Jerman – Toyota nampaknya sedang membangunkan kereta sport kompak baharu mereka dan kini prototaip awalan sedang diuji di litar “The Green Hell” berkenaan.

Unit ujian ini nampaknya dihasilkan dari casis hatchback segmen-B, iaitu Yaris pasaran Eropah. Ia juga kelihatan jauh lebih liar dari hot-hatch Yaris GRMN sebelum ini dengan kesemua fender direka lebih lebar, diberikan rim lebih besar dan lebih lebar dibaluti tayar dengan profil lebih agresif serta diikat dengan lima bolt ke hub roda.

Di hadapan, prototaip ini juga ‘tersengih’ lebih kejam dengan mendedahkan unit intercooler untuk sistem induksi paksaan (pengecas turbo/supercharger) yang bersaiz besar. Manakala di belakang, bamparnya direka singkat dan mendedahkan sistem ekzos dengan muffler melintang bersama dua tip bulat bersaiz besar.

Keseluruhan badan kereta ini juga dibalut dengan pelekat penyamaran berwarna merah-putih-hitam, menandakan ia adalah model yang dibangunkan oleh sayap prestasi tinggi dan perlumbaan Toyota iaitu Gazoo Racing, sama seperti Toyota GR Supra A90.

Tiada khabar bahawa Toyota akan menghasilkan satu lagi Yaris yang lebih berkuasa dari model GRMN. Tetapi apa yang sering dikatakan oleh Presiden Toyota Akio Toyoda dan juga ketua jurutera Tetsuya Tada adalah, mereka akan melengkapkan barisan model ‘kereta sport tiga-beradik‘ di bilik-bilik pameran jenama tersebut, seperti pada era 90’an dahulu iaitu Supra sebagai ‘Abang Long’, diikuti oleh MR2 dan juga Celica GT-Four.

Untuk ‘tiga-beradik’ generasi baharu ini, tugas Abang Long masih digalas oleh Supra, dan Abang Ngah pula adalah Toyota 86 generasi baharu. Yang masih menjadi misteri adalah Adik Bongsu mereka, di mana Toyota masih berteka-teki sama ada mahu menghidupkan semula nama MR2 atau Celica GT-Four.

Unit prototaip kereta sport baharu ini jelas menggunakan Toyota Yaris sebagai asas, dan hampir pasti ia akan menerapkan konfigurasi enjin melintang di hadapan, dan tidak mustahil untuk diberikan bersama sistem pacuan semua roda – menghampiri sifat-sifat Toyota Celica GT-Four sebelum ini. MR2 pula adalah kereta sport kompak yang hanya boleh menempatkan dua tempat duduk, enjin yang diletakkan di tengah, serta memacu roda belakang (Mid-engine, Rear-wheel drive, 2-seater).

Pembantu ketua jurutera dalam projek Supra, Masayuki Kai juga sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya Celica di bangunkan semula, ia bukanlah seperti model generasi pertama yang menampilkan pacuan roda belakang atau model generasi terakhir Celica GT pacuan roda hadapan, tetapi sebagai sebuah jentera pacuan semua roda kompak seperti zaman kegemilangan Celica GT-Four yang bertanding dalam kejohanan rali dunia (WRC), menentang musuh senegara – Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.