Sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut pada hujung bulan ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral.
Menurut KTMB, perkhidmatan tren tambahan itu akan beroperasi selama lima hari bermula 30 Oktober sehingga 3 November bagi memenuhi permintaan penumpang yang dijangka akan meningkat bagi sambutan perayaan ini, laporan Berita Harian.
“Penjualan tiket tambahan itu akan bermula hari ini jam 10 pagi. Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tiket sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 3,150 tiket ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan,” menurut kenyataan KTMB.
Di mana tren tambahan tersebut akan beroperasi hanya pada dua masa iaitu 11.05 pagi dari Padang Besar dan tiba di KL Sentral pada jam 4.30 petang. Manakala waktu berlepas di KL Sentral pula pada jam 5 petang dan tiba di Padang Besar ham 10.30 malam.
KTMB menambah penambahan perkhidmatan itu bertujuan untuk menampung permintaan tinggi ketika musim perayaan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Orang ramai disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang rasmi KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM wallet bagi mempercepatkan proses pembelian tiket. Pelanggan dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.
“Penumpang juga diingatkan untuk tiba lebih awal di stesen kerana pagar kawalan akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas,” menurut KTMB.
Sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

